Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: PN sedia terima keputusan pimpinan gabungan parti, termasuk tolak PH

Anggaran Waktu Membaca:

ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) bersedia menerima apa sahaja keputusan pimpinan gabungan parti itu termasuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata ini kerana pihaknya bersifat terbuka serta mengambil kira pendirian PAS sebagai parti komponen PN yang tidak mahu bekerjasama dengan PH di pilihan raya berkenaan.

Encik Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, malah menambah sekiranya keadaan itu berlaku, PN sudah bersedia untuk menghadapi kebarangkalian pertembungan tiga penjuru atau lebih daripada itu semasa PRU15.

“Perkara itu (PAS tolak bekerjasama dengan PH) untuk kami nak menunjukkan sikap keterbukaan tetapi apa pun, kami faham hakikatnya kemungkinan mereka (PAS) tidak setuju tetapi apa pun situasi, PN ada pendirian dan apa keputusan yang kami akan buat ataupun telah dibuat adalah berdasarkan musyawarah secara bersama. 

“Oleh itu, apa pun situasi atau keadaan, kami akan terima. Kemungkinan besar pilihan raya ini akan melihat pertembungan tiga penjuru atau empat penjuru, namun kami sudah bersedia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-68 yang disempurnakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Alor Setar pada Sabtu (3 Sep). 

Encik Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, malah berkata PN mempunyai strategi tertentu untuk memastikan kejayaan bagi gabungan parti itu dalam PRU15 nanti.

Sebelum ini, Encik Muhyiddin dilapor berkata idea kerjasama PN dengan pembangkang disuarakan kerana mahu menyelamatkan negara agar tidak terus terjerumus ke dalam kancah kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa. Beliau berpendapat kepentingan negara lebih penting berbanding kepentingan parti.

Mengenai cadangan penggunaan logo PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah semasa PRU15, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka diadakan minggu depan.

“Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai dan kami akan ambil kira. Jadi kalau itulah usul yang dikemukakan, apa pun keputusan akan dibuat oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan