Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: PM Ismail Sabri ikrar projek RM6 bilion di Johor sekiranya BN menang

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: PM Ismail Sabri ikrar projek RM6 bilion di Johor sekiranya BN menang

(Gambar: Fatihah Kamaruddin/CNA)

KLUANG: Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Rabu (9 Nov) berjanji untuk melancarkan projek pembangunan di Johor bernilai RM6 bilion (S$1.79 bilion) sekiranya Barisan Nasional (BN) dipilih membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November nanti. 

Berucap di majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama warga Parlimen Ayer Hitam di Kompleks Balai Orang Ramai, Ayer Hitam pada Rabu (9 Nov), Encik Ismail Sabri berkata: "Secara kesuluruhan, bagi Bajet 2023, hampir RM6 bilion (S$1.79 bilion) diperuntukkan bagi pembangunan di negeri Johor.

"Namun, projek-projek itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya BN kembali membentuk kerajaan. Kami membentangkannya pada Bajet 2023, tetapi kami harus membentangkannya sekali lagi (selepas kami dipilih)." 

Beliau berkata, projek-projek tersebut termasuk meluaskan Lebuhraya Utara-Selatan antara Yong Peng dan Johor Bahru daripada empat lorong kepada enam lorong, yang akan melibatkan belanja sekitar RM510 juta (S$152 juta) bagi kerja-kerja awal. Kerja naik taraf akan dilakukan secara berperingkat-peringkat, tambah beliau. 

Menurutnya lagi, RM1 bilion (S$299 juta) juga akan diperuntukkan untuk membangunkan Sistem Bas Laju Iskandar Malaysia di Johor Bahru dan lebih RM3 bilion (S$895 juta) pula diperuntukkan bagi projek Sistem Kereta Api Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura. 

Sebahagian belanjawan itu juga akan digunakan untuk membersihkan Sungai Kim Kim yang tercemar, serta membangunkan Lebuhraya Pasir Gudang. 

"Ini tidak termasuk kerja naik taraf beberapa lebuhraya persekutuan di Johor. Kami akan memperuntukkan RM1 bilion (S$299 juta) bagi kerja naik taraf di seluruh Malaysia," ujar Encik Ismail Sabri lagi. 

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan hasrat agar Johor kembali menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN), sekali gus menyumbang kepada kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Encik Ismail Sabri berkata negeri itu sering disebut sebagai kubu kuat UMNO dan BN sebelum ini, apatah lagi kerana kelahiran parti keramat itu bermula di Johor.

“Saya pernah berucap di Johor dan menyatakan Johor merupakan benteng terakhir daripada segi kekuatan UMNO kita, kerana UMNO lahir di Johor dan saya pernah katakan dalam ucapan ketika merasmikan UMNO Bahagian sebelum ini, saya katakan kalau Johor tumbang, maka seluruh negara (UMNO dan BN) akan tumbang.

“Bukti jelas apabila BN Johor tumbang pada PRU14, Malaysia (kerajaan pusat pimpinan BN) pun tumbang dan sebab itulah Johor mesti memastikan ia boleh kembali menjadi kubu kuat UMNO dan juga BN.

“Insya-Allah dengan kekuatan Johor, seluruh negara kekal di bawah BN,” katanya. 

Johor merupakan negeri pertama dilawati Encik Ismail Sabri selepas kempen PRU15 bermula secara rasmi sejak Sabtu (5 Nov). 

Beliau berkata sejak kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu, banyak kemajuan dicapai di bawah kepimpinan Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

"Tahniah kepada Encik Hasni dan Encik Onn Hafiz. Dari segi pelaburan di Johor, apabila Pakatan Harapan memerintah, mereka mampu tarik RM12 bilion (S$3.6 bilion) pelaburan, sehingga menyebabkan Johor jatuh tempat keenam atau ketujuh daripada segi pelaburan.

"..tetapi apabila kita (BN) memerintah, di bawah Hasni dan Onn Hafiz, hari ini pelaburan ke negeri Johor berjumlah RM60 bilion (S$17.9 bilion), menjadikan Johor negeri teratas dalam negara daripada segi pelaburan berbanding negeri-negeri lain," kata Encik Ismail Sabri.

Naib Presiden UMNO itu turut mengingatkan pengundi di Parlimen Ayer Hitam agar tidak terperangkap dengan permainan pihak pembangkang dan bijak memilih wakil rakyat yang akan mewakili suara mereka.

“Jadi walaupun Dr Wee Ka Siong (calon BN bagi Parlimen Ayer Hitam) bukan berbangsa Melayu tetapi dia telah buat kerjasama dengan BN sejak dulu lagi,” katanya.

Encik Ismail Sabri berkata Ayer Hitam dipilih menjadi lokasi pertamanya ke negeri-negeri untuk memberi sokongan kepada Presiden MCA, selain turut memberi jaminan akan melantik semula Wee ke dalam kabinet sekiranya BN memenangi PRU15.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sentimen BN di Johor ketika ini, Encik Ismail Sabri berkata BN Johor boleh memenangi sebahagian besar kerusi parlimen yang dipertandingkan memandangkan kerajaan negeri hari ini dipimpin oleh BN. 

“Daripada segi sentimennya nampak baik dan hari ini di Ayer Hitam nampak jelas semangat dan sokongan kepada Wee begitu kuat sekali, dan saya yakin Wee juga akan menang," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra berkenaan.

Pada PRN Johor, BN kembali berkuasa selepas memenangi lebih dua pertiga majoriti iaitu 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Encik Wee, yang mempertahankan kerusinya buat kali kelima, menghadapi saingan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan Sheikh Omar Bagharib Ali (PH-DAP) dan calon Perikatan Nasional Muhammad Syafiq A.Aziz (PN-Bersatu).

Hari pengundian PRU15 ditetapkan pada 19 November manakala hari mengundi awal pada 15 November. 

Sumber : CNA/BERNAMA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan