Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Perikatan Nasional jangka sapu bersih semua kerusi parlimen Terengganu

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: Perikatan Nasional jangka sapu bersih semua kerusi parlimen Terengganu

(Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)

TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) menjangkakan ia merangkul kesemua lapan kerusi parlimen Terengganu dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) bertanding dalam tujuh daripada lapan kerusi tersebut.

Bersatu pula bersaing dalam baki satu kerusi parlimen di negeri tersebut.

HARAPAN PENGUNDI

Jambatan Angkat Kuala Terengganu iaitu jambatan gantung pertama dibina di Malaysia dan Asia Tenggara, lambang kemajuan negeri pantai timur Malaysia itu. 

Bagi Sharifah Umikelsom Syed Ali, 49 tahun, beliau bersyukur atas pembangunan yang disaksikan di Terengganu.

Beliau baru-baru ini memulakan perniagaan spa dan menaruh harapan tinggi kepada para calon yang bertanding kali ini.

"Nak pemimpin itu membuka mata untuk memberikan batang joran bukan umpan yang tersedia di atas meja," kata Cik Sharifah. 

Parti PAS menang besar di Terengganu dalam PRU14 yang lalu setelah Barisan Nasional (BN) digulingkan selepas lebih enam dekad berkuasa.

PAS ketika itu menang di 22 daripada 32 kerusi DUN Terengganu manakala BN hanya menang dua.

Dalam PRU15 kali ini pula, PAS mahu memperbaiki prestasinya.

"Kalau mengikut kira-kira kita, sekiranya tiada sesuatu yang luar biasa, jangkaan kita kerusi di Besut dan juga di Hulu Terengganu akan dimenangi Perikatan Nasional. Maksudnya untuk PRU15 ini, PAS menyasarkan kemenangan 8-0," ujar calon PAS di Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim. 

Kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu menyaksikan persaingan pelbagai penjuru.

Namun, sasaran PAS untuk menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen itu bukan mudah untuk dicapai dengan adanya para pengundi yang lebih celik politik.

"Selepas tukar pemerintah macam kita ini dianaktirikan, janji tidak ditepati. Dia janji lain, dia buat lain," kata Norzila Ali, seorang penduduk di negeri itu. 

"Sekarang ini macam-macam yang lompat-lompat ini, masa hujan katak memang banyak lompat-lompat. Kita mahu kerajaan yang stabil, yang konsisten, yang kuat, yang boleh memerintah," luah Encik Jaafar, seorang lagi penduduk Terengganu.

Kerajaan negeri Terengganu di bawah PAS sebelum ini memutuskan untuk mengadakan pilihan raya DUN tahun depan akibat kebimbangan tentang banjir semasa musim tengkujuh sekarang.

Bagaimanapun, para pesaing PAS di Terengganu melihatnya sebagai satu kelebihan.

"Kalau katakan Barisan Nasional (BN) menang, sudah tentu memberi kesan yang besar kepada pengundian peringkat negeri nanti. Sebab kalau rakyat Terengganu tengok di peringkat pusat, kita melaksanakan dasar-dasar yang baik. Kenapa tak pulangkan kerajaan Barisan Nasional di Terangganu?," ujar Ketua Belia UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera. 

Ada juga yang berharap dapat membuat penerobosan di Terengganu.

Calon Amanah di Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah, berkata: "UMNO dan PAS merupakan dua faktor politik utama yang terkenal  di Terengganu adalah persaingan yang sengit. Kata sajalah mereka mendapat kerusi yang lebih kurang sama, 13 PAS, 13 UMNO, dan Insya Allah kata kita dapat enam, siapakah yang akan menjadi penentunya? Insya Allah kita boleh menentukan landskap negeri Terengganu ini."

Pada 2018, PAS berkempen sendiri tetapi kini ia bergabung dengan gabungan Perikatan  Nasional (PN).

Meskipun PAS adalah sebahagian PN, ia akan menggunakan logonya sendiri di Terengganu dan Kelantan.

PAS mungkin yakin akan mencapai prestasi baik di Terengganu tetapi para pengamat mengingatkan terdapat lebih setengah juta pengundi di bawah usia 40 tahun di Terengganu.

Para pengundi muda itu mempunyai aspirasi sendiri dan menjadi sasaran parti-parti politik yang bersaing untuk merubah sokongan kepada PAS.

Sumber : CNA/IA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan