Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Penamaan calon Parlimen Padang Serai, DUN Tioman pada 24 Nov

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang diadakan semula secara serentak pada Khamis (24 Nov).

PRU15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli dari Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Tioman.
Tempoh untuk mengemukakan kertas penamaan calon bermula pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi, masing-masing di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim dan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menetapkan hari pengundian pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga pukul 11.59 malam pada 6 Disember.

Calon-calon yang sah dinamakan bagi PRU15 di kedua-dua kawasan itu sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

Calon-calon baru yang ingin bertanding pula perlu menyerahkan kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus serta oleh calon atau penyokong atau pencadangnya esok.

Mendiang Encik Karupaiya, 69 tahun, penyandang kerusi Parlimen Padang Serai dimasukkan ke Hospital Kulim pada 14 November, selepas rebah ketika berkempen akibat serangan jantung dan meninggal dunia pada pukul 2.27 petang, 16 November.

Encik Karupaiya sepatutnya menghadapi persaingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang), C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Azman Nasrudin (PN) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15 Sabtu lalu (19 Nov).

Sementara itu, Allahyarham Md Yunus, 61 tahun, Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri meninggal dunia pada pukul 3.30 pagi hari pengundian PRU15 di Hospital Rompin menyebabkan SPR Pahang memaklumkan proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan.

PRU15 bagi DUN Tioman sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Mohd Johari Hussain (BN).

PRU15 Parlimen Padang Serai akan menggunakan 46 pusat mengundi biasa yang mengandungi 230 tempat mengundi (saluran) dan satu pusat mengundi awal yang mempunyai dua tempat mengundi (saluran).

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober akan digunakan untuk pilihan raya itu, yang mengandungi 133,867 orang pemilih yang terdiri daripada 133,776 pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

DUN Tioman pula akan menggunakan 17 pusat mengundi biasa yang mengandungi 52 tempat mengundi (saluran) dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi dua saluran.

Daftar pemilih yang digunakan bagi DUN berkenaan mengandungi 28,465 pemilih yang terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Keputusan PRU15 di peringkat Parlimen menyaksikan PH memenangi 82 daripada 220 kerusi yang ditandingi, diikuti PN dengan 73 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (23), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Bagi DUN Pahang pula, PN menang 17 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan, diikuti oleh BN dengan 16 kerusi, manakala PH memperoleh lapan kerusi.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan