PRU15: MUDA umum Syed Saddiq bakal calon pertahankan kerusi Muar

(Gambar: BERNAMA)
MUAR: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diumumkan sebagai bakal calon parti itu untuk kerusi Parlimen Muar bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengumuman oleh Pengarah Pilihan Raya MUDA Amira Aisya Abd Aziz pada Rabu malam (2 Nov), sekali gus menjadikan Encik Syed Saddiq calon kelima dari MUDA yang akan bertanding dalam PRU15.
Encik Syed Saddiq merupakan penyandang Parlimen Muar selama sepenggal dan pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan.
Di PRU14, Encik Syed Saddiq, yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu, menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar Razali Ibrahim (Barisan Nasional) dan Abdul Aziz Talib (PAS) dengan majoriti 6,953 undi.
Selain Parlimen Muar, MUDA mengumumkan empat calon yang akan bertanding menggunakan logo parti itu, iaitu Muhammad Danial Abdul Majeed di kerusi Parlimen Kepala Batas, Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang), Lim Wei Jiet (Tanjung Piai) dan Shahrizal Denci bagi Kota Marudu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu (5 Nov) sebagai hari penamaan calon, pengundian awal pada 15 November dan hari mengundi pada 19 November.
Dalam sidang media selepas itu, Encik Syed Saddiq berkata kesemua calon MUDA yang bertanding dalam PRU15 perlu mengisytiharkan aset masing-masing sebelum hari penamaan calon pada Sabtu (5 Nov), bertujuan mencipta budaya politik sihat dan telus.
"Saya juga dalam proses memuktamadkan pengisytiharan tersebut dan akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat kerana ini budaya baik dan sangat penting,” katanya.
Dalam pada itu, Cik Amira Aisya, yang juga Timbalan Presiden MUDA, berkata parti itu akan mengumumkan seorang lagi calon PRU15 dan perkara itu akan dimaklumkan menerusi satu kenyataan media.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.