Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15 M'sia: PN menang besar di Padang Serai, BN pertahan DUN Tioman

Anggaran Waktu Membaca:

KULIM: Calon Perikatan Nasional (PN) Azman Nasrudin memenangi kerusi Parlimen Padang Serai yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kawasan itu yang berlangsung pada Rabu (7 Dis).

Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai  Abdul Bari Abdullah kira-kira pukul 10.55 malam di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech.

Encik Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas memperoleh 51,637 undi mengalahkan lima calon lain dengan majoriti 16,260 undi.

Calon PH Dr Mohamad Sofee Razak memperoleh jumlah undi kedua tertinggi iaitu 35,377 diikuti calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivaraj (2,983 undi), calon Bebas Sreanandha Rao (846 undi), calon Pejuang Hamzah Abd Rahman (424 undi) dan calon Warisan Mohd Bakhri Hashim (149 undi).

Encik Sivaraj dan Mohd Bakhri sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya itu bagi memberi laluan dan menyokong calon PH Mohamad Sofee, namun berdasarkan peraturan pilihan raya nama mereka kekal pada kertas undi kerana pencalonan mereka telah disahkan.

SPR turut mengumumkan peratusan keluar mengundi selepas semua 46 pusat pengundian ditutup 6 petang tadi adalah 68.95 peratus.

Kemenangan PN di Padang Serai menyaksikan gabungan itu menambah bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU 19 Nov lepas kepada 74 kerusi di seluruh negara dan mengukuhkan kedudukannya  di Kedah dengan memiliki 14 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri ini.

PH pula kekal 82 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai yang sepatutnya berlangsung pada 19 Nov lepas ditangguhkan dan dilaksanakan pada hari ini berikutan seorang calon telah disahkan iaitu M Karupaiya, 69 tahun, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 Nov lepas.

Sementara itu, kerusi terakhir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang menjadi milik BN apabila calonnya, Mohd Johari Hussain, diumumkan sebagai pemenang PRU15 bagi DUN Tioman. 

Encik Mohd Johari, yang merupakan penyandang kerusi itu, menang dengan majoriti tipis 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi mengalahkan calon PN Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi. 

Tiga lagi calon iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly daripada Pakatan Harapan mendapat 784 undi, Osman A Bakar (Pejuang) 79 undi dan Sulaiman Bakar (Bebas), yang hanya memperoleh 58 undi. 

Proses pengundian bagi DUN Tioman diadakan hari ini selepas ia ditangguhkan ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61 tahun, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung. 

Keputusan itu menjadikan kedudukan BN dan PN di DUN Pahang selepas PRU15 masing-masing menguasai 17 kerusi manakala baki lapan kerusi lagi dimenangi PH. 

Bagaimanapun, keputusan itu tidak mengubah pentadbiran Pahang kerana BN dan PH telah menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri yang turut diperkenan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Kerjasama itu juga membolehkan Wan Rosdy mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 28 Nov lepas. 

 

Sumber : Bernama/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan