Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Mengapa undi Melayu penting dan siapa lebih berkuasa

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Nelayan Razali Abdul Razak menggantung tiga bendera politik berbeza pada bot miliknya.

Biru gelap bendera Barisan Nasional (BN), biru terang bendera Perikatan Nasional (PN) serta hitam bendera parti anak muda Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

"Menggantung bendera-bendera ini tidak bermakna saya sokong parti-parti ini. Ia hanya cenderahati daripada ahli politik semasa mereka berkempen," kata penduduk Parit Jawa itu, iaitu sebuah perkampungan tepi laut berdekatan bandar Muar, di Johor.
Nelayan Razali Abdul Razak berpendapat semua calon mesti sanggup berjuang demi hak orang Melayu. (Gambar: CNA/Amir Yusof)

"Siapa yang akan saya undi bergantung kepada para calon - Adakah mereka membantu memastikan saya terus dapat meraih pendapatan yang baik di sini dengan kerja nelayan? Lebih penting lagi, adakah mereka sanggup memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan mempertahankan kedaulatan Islam (di Malaysia)?" kata Encik Razali.

Bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menjelang, persaingan untuk merebut sokongan para pengundi Melayu/Islam, seperti Encik Razali, dijangka begitu sengit.

Menurut perangkaan terbaru banci penduduk yang dikeluarkan oleh jabatan statistik Malaysia, setakat 2020, 69.4 peratus penduduk adalah Melayu-Bumiputera dan 63.5 peratus adalah Muslim.

Semasa pilihan raya 2018, apabila parti gabungan Pakatan Harapan (PH) menang, media tempatan melaporkan kemenangan tersebut disumbangkan oleh "Tsunami Melayu". Ini merujuk kepada gelombang pengundi Melayu yang mengundi PH, sekali gus mencatat detik penting yang mengakhiri pemerintahan BN 60 tahun lamanya.

Pada 2020, menyusuli gerakan politik yang diketahui sebagai "Langkah Sheraton", BN kembali berkuasa di samping PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dalam apa yang disifatkan oleh para pengamat sebagai parti gabungan Melayu/Islam terbesar.

Menjelang hari mengundi pada 19 November nanti, usaha memancing sokongan dalam kalangan Melayu/Islam sekali lagi dijangka penting dari segi menentukan parti mana yang akan menang.

Dalam wawancara terbaru dengan Mediacorp, mantan perdana menteri Mahathir Mohamad menarik perhatian bahawa politik identiti kekal sebagai kunci. Beliau menambah bahawa para pengundi masih mengundi berdasarkan kaum.

"Di kawasan di mana sebahagian besar penduduknya berbangsa Cina, anda tidak boleh meletakkan calon Melayu di sana. Dia tidak akan menang. Begitu juga di kawasan Melayu, anda letakkkan seorang calon Cina, dia tidak akan menang," kata Dr Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

a
Mantan perdana menteri Malaysia Mahathir Mohamad mengumumkan beliau akan bertanding sebagai calon ahli parlimen Langkawi. (Gambar: CNA/Rashvinjeet S Bedi)

"Anda harus memberi respons kepada sikap rakyat. Kita tidak boleh sekadar berkata ini tidak betul dan letakkan seseorang yang rakyat tidak mahu," tambah ahli politik berusia 97 tahun itu.

Bagi PRU15, Dr Mahathir akan menerajui gerakan Melayu Gerakan Tanah Air (GTA). Beliau juga akan bertanding sebagai calon ahli parlimen Langkawi.

MELAYU LUAR BANDAR MUNGKIN SOKONG UMNO, PAS

Para penganalisis politik yang diwawancara Mediacorp berkata para pengundi Melayu di kawasan luar bandar berkemungkinan menyokong calon-calon yang memelihara hak-hak orang Melayu, memperjuangkan Islam dan berikrar untuk mendaulatkan institusi beraja.

Dr Serina Rahman, yang merupakan pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS), menekankan "isu teras" "kaum, agama dan kerajaan" menjejas undi penduduk Melayu di luar bandar, dan ini tidak pernah berubah sejak bertahun lamanya.

Encik Adib Zalkapli, pengarah bagi firma penasihat strategik BowerGroupAsia berkata pengundi luar bandar di semenanjung Malaysia berkemungkinan mengundi sama ada UMNO atau parti komponen PN, iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandangkan kedua-duanya adalah "jenama yang dikenali".

"Misalnya, bagi PAS di kawasan seperti Kelantan dan bagi UMNO di kawasan (luar bandar) di pantai barat, parti-parti ini dilihat sebagai perwakilan sah masyarakat Melayu Islam," tambah beliau.

Encik Sani Hassan, seorang pesara yang tinggal di Kampung Mawai Baru di Kota Tinggi, ialah contoh yang baik.

Kawasan undi persekutuan Kota Tinggi dimenangi UMNO sejak 1986 dan dianggap kubu kuat BN.

Penduduk Kota Tinggi Sani Hassan berpakaian kemeja-T Barisan Nasional. (Gambar: CNA/Amir Yusof)
"Dalam pilihan raya lalu, kami hilang 24 kerusi persekutuan yang dipegang sebelum ini, dengan begitu sahaja. Kebanyakan kerusi itu adalah di kawasan Melayu luar bandar," kata Encik Isham, yang baru-baru ini dilantik ke dalam majlis tertinggi parti tersebut.

"Kami dihukum pada 2018 dan kami sudah mengambil iktibar," tambah bekas ketua maklumat Selangor BN itu.

PH ADA KELEBIHAN DI MATA PENGUNDI MELAYU BANDAR

Sementara itu, para pengundi Melayu di kerusi-kerusi bandar juga muktamad dalam menentukan keputusannya. Kawasan undi-kawasan undi tersebut sebahagian besarnya tertumpu di Lembah Klang dan bandar-bandar utama di pantai barat di Semenanjung Malaysia.

Encik Adib dari BowerGroupAsia menarik perhatian bahawa semasa PRU14, PH menang 33 daripada 43 kerusi bandar majoriti Melayu. PAS pula menang enam kerusi manakala BN menang empat.

Encik Fahmi Fadzil, yang merupakan ketua maklumat Parti Keadilan Rakyat (PKR), memberitahu Mediacorp bahawa gabungan tersebut meraih kepercayaan utuh dalam kalangan Melayu di bandar kerana PH memperjuangkan isu-isu yang paling menjadi keprihatinan mereka. PKR adalah komponen parti PH.

"Kebanyakan keprihatinan ittu berhubung kait dengan isu-isu mata pencarian, kos kehidupan, pengangkutan awam dan perumahan. Keluarga dalam golongan pertengahan juga menentang rasua dan penyalahgunaan kuasa yang disaksikan sejak 50 tahun lalu," ujar Encik Fahmi menerusi wawancara melalui panggilan telefon.

"Mereka ada pertimbangan praktikal dan pendirian berprinsip," tambah ahli parlimen Lembah Pantai, iaitu kerusi bandar dengan majoriti Melayu di Kuala Lumpur. Kerusi Lembah Pantai dimiliki PH sejak 2008.
Rumah-rumah flat di Pantai Dalam, barat daya Kuala Lumpur. (Gambar: CNA/Amir Yusof)
Cik Sakinah Abdul Malik, yang tinggal di sebuah flat kos rendah di Pantai Dalam di kawasan undi Lembah Pantai memberitahu Mediacorp bahawa PH berupaya mencerminkan aspirasi, yang beliau percaya, adalah Malaysia pada masa depan.

"Saya berharap untuk melihat negara saya bebas rasuah satu hari nanti dan saya rasa Pakatan mencemrinkan aspirasi itu. Kita semua berani bermimpi selepas (kemenangan PH) pada 2018 dan mungkin kita boleh melakukannya sekali lagi sekarang pada 2022," tambah beliau.

Sungguhpun demikian, Encik Adib menganjurkan bahawa berdasarkan keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini serta undi negeri Johor dan Melaka, UMNO yang dipimpin BN mungkin meraih kembali sebahagian daripada 12 kerusi majoriti Melayu bandar yang terlepas daripada genggamannya pada 2019.

Beliau menambah faktor utama adalah pembangkang kini membentuk pelbagai gabungan, dengan PH, PN dan GTA menyebabkan berlakunya pertandingan berbilang penjuru manakala BN mungkin mengekalkan pangkalan pengundinya.

"Pada 2018, gabungan Bersatu dengan PH dan juga perpecahan dalam UMNO memanfaatkan PH di kawasan undi Melayu bandar. Ia amat mencabar untuk PH mengulangi prestasinya kali ini dengan pembangkang yang berpecah," kata Encik Adib.

Beliau menarik perhatian bahawa kerusi Melayu bandar akan menjadi tumpuan dalam pilihan hari ini akan datang memandangkan sokongan pengundi "boleh berubah haluan", sambil menambah bahawa BN akan cuba merebut kembali kubu kuatnya seperti Setiawangsa dan Titiwangsa di Kuala Lumpur.

ISU EKONOMI JEJAS MELAYU BANDAR, LUAR BANDAR

Meskipun apa yang menjadi keutamaan bagi pengundi di bandar dan luar bandar mungkin sedikit berbeza, kedua-dua kumpulan itu bimbang tentang isu-isu mata pencarian seperti pendapatan dan pekerjaan.

Kos kehidupan yang meningkat disebabkan inflasi dan kemungkinan berlaku kemelesetan sejagat juga dijangka menjadi sebahagian naratif utama kempen PRU15.

Dr Serina dari NUS berkata: "Masyarakat Melayu masih bergelut dengan isu asas ekonomi - harga bagi semua benda sudah meningkat dan barangan asas sukar dicari atau terlalu mahal."

Encik Fahmi dari PKR berkata isu-isu seperti inflasi dan kos kehidupan adalah antara "kebimbangan paling besar" yang dihadapi masyarakat Melayu di bandar dan bahawa PH akan menyuarakan mengenainya semasa berkempen.

"Dari segi apa yang kami bentangkan, kami mahu menunjukkan bagaimana PH ini berbeza daripada PH yang bertanding pada PRU14. Kami lebih pragmatik setelah berkuasa, kami tahu apa yang boleh dilakukan dan apa yang lebih sukar untuk dilakukan," tambah beliau.

Sementara itu, Encik Isham dari UMNO juga berkata tumpuan BN menjelang pilihan raya adalah isu-isu mata pencarian. Beliau menambah BN akan berkempen berdasarkan mesej positif politik.

"Malaysia dijangka berdepan dua krisis tidak lama lagi - krisis banjir mulai hujung November serta krisis ekonomi disebabkan kemelesetan global.

"Jika politik Malaysia masih tidak stabil, kita tidak akan bersedia untuk menempuhi krisis-krisis tersebut," tambah beliau.

Laporan ini dipetik dari cna.com.
Sumber : CNA/NK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan