Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Mangsa banjir Kelantan tidak akan keluar mengundi

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: Mangsa banjir Kelantan tidak akan keluar mengundi

Antara rumah di Rantau Panjang, Kelantan, yang ditenggelami banjir. (Gambar: Ruzaini Rashid)

RANTAU PANJANG: Hampir 2,000 penduduk di kawasan Rantau Panjang, Kelantan, terjejas dengan banjir setakat Khamis (17 Nov).

Sebahagian besar mereka ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan bagaimanapun menyatakan paras air Sungai Golok yang melimpah itu menunjukkan trend kemerosotan daripada lebih sembilan meter kepada lebih lapan meter.

Namun, paras itu masih melebihi paras bahaya yang dinyatakan sebagai lapan meter.

PENDUDUK SUARAKAN HASRAT TIDAK KELUAR MENGUNDI

Beberapa penduduk yang ditemui BERITAMediacorp berkongsi bahawa mereka tidak akan keluar mengundi pada 19 November nanti.

Che Mazlan, 38 tahun, berkata: "Kalau begini paras air tinggi, orang kata upah RM1,000 pun kita tidak pergi mengundi. Tidak perlu. Tidak guna mengundi kalau begini."

"Mungkin tidak keluar mengundi. Air banyak sebegini bagaimana hendak keluar?" ujar seorang lagi penduduk, Nurshamimi Md Sanusi.

Bagi mereka yang berhasrat untuk keluar mengundi, mereka melakukannya atas tujuan untuk memastikan pihak bertanggungjawab akan ambil peduli dengan nasib yang menimpa mereka.

Che Hazli Husin, 61 tahun pula berkata: "Kita undi tidak ada masalah. Masalahnya kita perlu cari yang bertanggungjawab. Undi itu mesti, tidak boleh kalau tak undi."

USAHA CALON RANTAU PANJANG TAMBAT HATI PENGUNDI

Sejak banjir melanda kawasan itu, calon seperti Dr Wan Shah Jihan Wan Din sudah turun ke padang untuk memahami kesukaran dialami penduduk.

"Banjir kali ini berlaku atas kesilapan rekaan projek benteng yang sedang berlangsung di sini. Saya akan berusaha untuk memastikan masalah banjir ini dapat diatasi segera supaya aktiviti harian penduduk Rantau Panjang dapat diteruskan.

"Hanya dengan itu, kegiatan ekonomi Rantau Panjang boleh kembali sempurna dan kemudian dipertingkatkan lagi," kongsi beliau yang bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH).

Apabila mengunjung markas utama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Rantau Panjang, seorang wakil memberitahu BERITA bahawa PAS percaya masalah banjir itu akan diatasi oleh pihak berkuasa tempatan.

Kerusi Parlimen Rantau Panjang menyaksikan persaingan lima penjuru antara calon dari PH, PAS, Barisan Nasional, parti Putra, dan Parti Rakyat Malaysia.

Secara keseluruhan, 1.4 juta penduduk Kelantan layak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15.
Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan