Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15 ketika musim tengkujuh helah UMNO untuk menang, kata Mukhriz Mahathir

Anggaran Waktu Membaca:
KUBANG PASU: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mukhriz Mahathir, mendakwa tindakan kepimpinan UMNO yang mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir merupakan satu helah untuk memastikan tidak ramai pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurut Encik Mukhriz, ini menunjukkan bahawa rakyat tidak lagi memihak dan menyebelahi UMNO, lapor Astro Awani.

Dakwa beliau, pilihan UMNO untuk mengadakan PRU15 dalam musim tengkujuh ini adalah kerana parti itu sedar bahawa peluang mereka untuk menang lebih tinggi sekiranya jumlah pengundi hanya berada di bawah 60 atau 50 peratus.

Katanya, apabila jumlah yang keluar mengundi rendah, peluang untuk UMNO menang tinggi dan itu terbukti berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"UMNO ingin menggunakan formula sama di mana apabila tidak ramai pengundi UMNO akan mengerahkan penyokong tegar untuk keluar mengundi.

"Zahid Hamidi mencabar kami... dia kata kami semua (pembangkang) takut. Kita hendak jaga kepentingan rakyat, bukan kita takut hendak menghadapi PRU.

"Kami tetap bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya, banjir ataupun tidak banjir, itu memang kerja kami (ahli politik) tetapi kesian kepada rakyat dan kami tahu helah Zahid itu untuk peratusan keluar mengundi rendah... contohnya di (PRN) Johor, 45 peratus tidak keluar mengundi, tetapi masa itu COVID-19 dan rakyat meluat terhadap politik tetapi ini tentang banjir, memang tidak patut sangatlah," tegas Ahli Parlimen Jerlun itu.

Mukhriz berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program ‘Jom Mengemping’ di Kampung Megat Dewa di Kubang Pasu, pada Jumaat (23 Sep).

Sebelum ini, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, jentera Barisan Nasional sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini dan turut menyifatkan isyarat diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan