Skip to main content

Dunia

PRU15: Keputusan Khairy ke Sungai Buloh bukan untuk tamatkan riwayat politiknya

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: Keputusan Khairy ke Sungai Buloh bukan untuk tamatkan riwayat politiknya

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 03 Nov 2022 04:16PM
SEREMBAN: Tanggapan yang menyatakan bahawa tindakan Barisan Nasional (BN) untuk menghantar mantan penyandang kerusi Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bertanding di kerusi Sungai Buloh sebagai alasan untuk menamatkan riwayat politiknya adalah tidak benar.

Menurut Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, keputusan itu dibuat selepas memikirkan apa yang terbaik bagi Encik Khairy, menurut Astro Awani.

“Tak betul cerita tu. Sungai Buloh sekarang pengundi Melayu hampir 75 peratus kerusi yang amat selamat. Dan dia punya ketua bahagian adalah Setiausaha Politik dia (Megat Firdouz Megat Junid). Orang di situ mengalu-alukan beliau.

“Lebih baik dia pergi ke sana daripada tempat-tempat yang tidak menerima dia. (Tohmahan) itu ada salah,” katanya di sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah kepada calon-calon BN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini (3 Nov).

Tambahnya lagi, para pengundi di kawasan berkenaan ketika ini mahukan calon daripada UMNO untuk bertanding di sana, lapor Astro Awani.

Beliau juga yakin bahawa Encik Khairy akan mencatatkan sesuatu yang positif dalam PRU15 kali ini sekalipun terpaksa ke kawasan baru dan meninggalkan Rembau.

“Ia bagus bagi KJ (Khairy) untuk berada di sana, beliau mempunyai karier yang lebih jauh lagi dalam UMNO. Ia adalah kawasan dan Parlimen yang bagus untuk saudara KJ berada di sana," katanya lagi.

PRU15 kali ini menyaksikan Encik Khairy meninggalkan kerusi yang disandangnya iaitu Rembau untuk memberikan laluan kepada ketuanya Mohamad Hasan bertanding di kerusi berkenaan buat kali pertama, seperti dinukil Astro Awani.

Encik Khairy pula terpaksa mempertaruhkan nasibnya di kerusi yang baru iaitu Sungai Buloh yang menyaksikan kerusi berkenaan sebelum ini dimenangi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) R. Sivarasa dengan 43,631 undi.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita