Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Faktor Anwar Ibrahim beri lebih keyakinan buat calon PH di Perak

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: Faktor Anwar Ibrahim beri lebih keyakinan buat calon PH di Perak

(Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

IPOH: Kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim bertanding di Perak menjadikan calon-calon PH di negeri itu rasa lebih yakin.

Ini termasuk calon PH yang bertanding pertama kali dalam pilihan raya, Jamean Zulkepli, 28 tahun.

Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering di Perak itu juga merupakan calon termuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Meskipun agak gemuruh untuk memikat hati pengundi, Encik Jamean berasa lebih yakin dengan kehadiran presiden parti, Anwar Ibrahim yang turut bertanding di Perak.

"Faktor Anwar Ibrahim bertanding sebagai Perdana Menteri dan bertanding di Perak juga menjadi faktor tambahan sebab apabila saya berkempen saya sebut kita nak pastikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri supaya ekonomi kita dapat pulih seperti sedia kala," kata Encik Jamean.
Encik Jamean Zulkepli. (Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)
Keputusan Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk bertanding di Tambun dilihat sebagai satu langkah strategik PH untuk menawan semula Perak.

Ini bagi mencapai sasaran gabungan itu untuk menubuhkan negeri koridor PH di pantai barat Semenanjung.

Ini setelah jajaran politik itu berjaya menguasai Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sesetengah penduduk yang ditemui teruja dengan kemungkinan Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 adalah wakil rakyat dari Perak.
 
(Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)
"Daripada 222 kerusi parlimen, 24 parlimen yang ada di Perak, Datuk Seri Anwar Ibrahim nak bertanding di Manjoi, di P063 Tambun. Kami penduduk Manjoi. Alhamdulillah lagi seronok sebab (calon) Perdana Menteri datang dari Tambun," kata Encik Ali Abdul Mutalib, salah seorang penduduk yang ditemui.

Bagi Cik Zabedah Ibrahim pula, beliau harapkan perubahan yang boleh dibawa Anwar Ibrahim yang pernah memangku jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.

"Bila yang baru memerintah, misal kata macam Anwar, kalau ada kebaikan, pembaharuan tak jadi masalah, minta itu sahaja, rakyat diutamakan," jelasnya.

Meskipun pertama kali bertanding di Tambun, kehadiran pengerusi PH yang juga calon Perdana Menteri bagi gabungan itu cukup terasa dengan poster-poster gergasi Anwar Ibrahim di banyak tempat di Perak.
(Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)
Sedang ini dilihat sebagai tanda kehebatan pengaruh tokoh politik itu, seterunya pula melihatnya sebagai tanda kelemahan.

"Jika dia sangat yakin, saya tak rasa dia akan buat poster sebesar itu. Jadi saya fikir dia tahu dia berdepan dengan masa-masa yang sukar," ujar calon dari Perikatan Nasional bagi Tambun, Ahmad Faizal Azumu yang juga mantan Menteri Besar Perak.

Ini lebih sukar lagi apabila pihak lawan mengapi-apikan isu tentang kerjasama dengan parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP) yang boleh menggugat ketuanan Melayu di negara ini.

"Anda (Anwar Ibrahim) takkan jadi Perdana Menteri selagi berada di situ kerana orang Melayu akan tolak anda selagi anda bersama DAP," kata Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin yang hadir memberi sokongan kepada Encik Ahmad Faizal di ceramah Jelajah PN Best di Tambun.

Dalam fasa-fasa akhir tempoh berkempen menjelang Hari Mengundi pada Sabtu (19 Nov), Anwar Ibrahim cuba menyakinkan rakyat sebaliknya.

"Saya tahu kadang-kadang orang Melayu dia takut, bila menang Anwar, DAP Cina, India. Cari Melayu yang tidak rasuah, cari Melayu yang jaga negara, saya Melayu, Cina, India. Selamat negara ini," tegas beliau.

Ini merupakan kali kedua Anwar Ibrahim berpindah kerusi parlimen, dari Permatang Pauh di Pulau Pinang, kemudian ke Port Dickson di Negeri Sembilan dan kini Tambun di Perak.

Kawasan undi bagi parlimen Tambun mencatatkan jumlah pengundi paling ramai di Perak iaitu 160,558 orang.
Sumber : BERITA Mediacorp/IZ/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan