Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Calon tarik diri tetap diisytihar pemenang jika raih undi tertinggi, kata Pengerusi SPR

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: Calon tarik diri tetap diisytihar pemenang jika raih undi tertinggi, kata Pengerusi SPR

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh. (Gambar: Bernama)

KULIM: Calon yang menarik diri dan memberi laluan kepada calon parti lain di Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman akan tetap diisytiharkan sebagai pemenang sekiranya memperoleh jumlah undi yang tertinggi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh berkata ia kerana kesemua calon sedia ada sudah disahkan layak bertanding pada hari penamaan calon, 24 November lalu.
“Kita akan umum (nama calon yang menang walaupun mereka menarik diri). Calon yang (boleh) tarik diri hanya pada waktu pencalonan (antara pukul 9.00 hingga 10.00 pagi) pada hari berkenaan sahaja."

“Jadi selepas pukul 10.00 pagi sudah tidak boleh (menarik diri) kerana telah disahkan layak bertanding,” katanya kepada wartawan selepas meninjau pusat pengundian PRU15 Parlimen Padang Serai di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah pada Rabu (7 Dis).

Pada 29 November lalu, Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) di DUN Tioman sebagai tanda kesepakatan kerajaan perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Selepas itu, langkah yang sama juga diambil di Parlimen Padang Serai dengan calon Warisan turut mengumumkan untuk memberi laluan kepada PH selepas hari penamaan calon bagi kawasan itu selesai.

BN turut membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding dalam PRU15 Parlimen Padang Serai dan memberi laluan kepada PH beberapa jam sebelum hari pengundian awal dijalankan pada 3 Disember lalu.

Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Azman Nasrudi (Perikatan Nasional), C. Sivaraj (BN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon BEBAS Sreanandha Rao.

PRU15 DUN Tioman pula melibatkan penyandang daripada BN Mohd Johari Hussien, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Sulaiman Bakar (BEBAS), Osman Bakar (Pejuang) dan calon PN Nor Idayu Hashim.

Sementara itu, Encik Abdul Ghani menyasarkan statistik keluar mengundi antara 60 hingga 75 peratus bagi PRU15 di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman pada Rabu.

Justeru, beliau meminta para majikan supaya memberi kebenaran kepada pekerja yang layak mengundi di kawasan masing-masing untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Setakat 11.00 pagi Rabu, statistik SPR merekodkan sebanyak 28 peratus keluar mengundi bagi Parlimen Padang Serai dan 27 peratus bagi DUN Tioman.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan