Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Calon BN digugurkan Shahidan Kassim, Ismail Mutalib umum tanding tiket PN di Arau, Maran

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: Calon BN digugurkan Shahidan Kassim, Ismail Mutalib umum tanding tiket PN di Arau, Maran

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 04 Nov 2022 07:50AM Dikemas Kini : 04 Nov 2022 08:04AM
MARANG: Menteri Wilayah Persekutuan Malaysia, Dr Shahidan Kassim akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia atas tiket Perikatan Nasional (PN), kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada Khamis malam (3 Nov).

Encik Abdul Hadi turut mengumumkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Ismail Abdul Mutalib akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran di Pahang, juga atas tiket PN.

Dr Shahidan dan Encik Ismail telah digugurkan sebagai calon oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini.
Terdahulu, Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15, mengumumkan dua bakal calon baru mewakili PN bagi kerusi Parlimen di negeri itu.

Mereka adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Malaysia, Dr Alias Razak yang akan bertanding di Parlimen Kuala Nerus dan Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Parlimen Besut.

Encik Ahmad Samsuri turut mengumumkan lima penyandang daripada PAS bakal mempertahankan kawasan masing-masing termasuk Encik Abdul Hadi yang bertanding semula di Parlimen Marang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Ahmad Amzad Hashim bakal mempertahankan Parlimen Kuala Nerus; Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu); Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun); dan Che Alias Hamid (Kemaman).

Selain itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Rosol Wahid disahkan mewakili PN bagi Parlimen Hulu Terengganu.

Sementara itu, selepas diumumkan sebagai bakal calon PN bagi Parlimen Arau, Dr Shahidan dalam ucapannya berkata beliau membuat keputusan untuk mewakili PN kerana menyifatkan Encik Abdul Hadi memahami dirinya dan mereka tetap bersahabat walau berbeza pendapat.

“Saya idamkan perpaduan ummah. Saya nak PAS dan UMNO di Arau sokong saya. Biar Muafakat Nasional bermula di Arau. Saya akan gempur Arau habis-habisan. Sekali saya masuk gelanggang saya nak menang,” katanya.

Berikut senarai calon PN bagi PRU15 Malaysia di Terengganu:

P033 Besut - Che Mohamad Zulkifly Jusoh  

P034 Setiu - Shaharizukirnain Abd Kadir 

P035 Kuala Nerus - Dr Alias Razak 

P036 Kuala Terengganu - Ahmad Amzad Hashim

P037 Marang - Abdul Hadi Awang 

P038 Hulu Terengganu - Rosol Wahid 

P039 Dungun -  Wan Hassan Mohd Ramli 

P040 Kemaman - Che Alias Hamid 
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan