Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Calon aktif, 'popular' di media sosial berpeluang pikat pengundi muda, kata penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: Calon aktif, 'popular' di media sosial berpeluang pikat pengundi muda, kata penganalisis

Gambar fail aplikasi-aplikasi media sosial yang biasa digunakan orang ramai. (Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

KUALA LUMPUR: Calon pilihan raya yang aktif dan ‘popular’ di media sosial mempunyai peluang tinggi untuk menambat hati pengundi, terutamanya golongan muda yang pertama kali menjalankan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Profesor Dr Nasrudin Mohammed, berkata ia berikutan realiti pada zaman Internet ketika ini yang membuatkan platform media sosial mempunyai pengaruh kuat terhadap pendirian politik pengundi.

“Lebih-lebih lagi apabila calon memainkan isu-isu yang dianggap sensasi dan menarik perhatian pengundi. Soal benar atau salah, tulen atau palsu kelihatannya tidak menjadi perkiraan utama kebanyakan pengguna media sosial,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, beliau berkata pengundi muda secara umumnya mengutamakan calon yang dianggap serta dipercayai berupaya memberi faedah secara langsung kepada golongan itu.

Beliau berkata pengundi muda mengutamakan isu yang dianggap ‘sensasi’. Antaranya, peluang pendidikan tinggi, peluang perniagaan yang disokong dengan bantuan modal dan insentif lain serta peluang pekerjaan yang menjanjikan insentif terbaik dan segera.

"Usia calon - lebih muda lebih dianggap ideal - memberi kelebihan kepada calon, namun ia juga bergantung kepada beberapa sifat luaran calon muda seperti perawakan, latar belakang teknikal calon, lokaliti dan juga idealisme politik yang ditunjukkan,” ujar beliau

Ogos lalu, Dewan Rakyat diberitahu jumlah pengundi yang berdaftar setakat Mei 2022 adalah 21,113,234 orang, dengan 1,141,749 orang atau 5.4 peratus adalah pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac lalu menjadi medan pertama pelaksanaan Undi18 bagi golongan berusia 18 hingga 20 tahun merasai pengalaman keluar untuk melalui proses mengundi bagi memilih wakil rakyat pilihan mereka.

Kebenaran untuk mereka mengundi menyusuli kelulusan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik, diluluskan pada Mac 2019.

Bagaimanapun, Dr Nasrudin berkata PRN Johor bukanlah cerminan sebenar kepada penyertaan dan pengaruh pengundi muda baru dan keputusan pilihan raya itu juga tidak dapat memberi gambaran jelas berkenaan kesannya kepada PRU15.

Dr Nasrudin berkata PRN Johor sepatutnya mencatatkan hampir 30 peratus atau hampir 750,000 orang penambahan bilangan pengundi muda berusia antara 18 hingga 20 tahun yang layak mengundi, namun kesan penyertaan pengundi muda dalam PRN itu tidak begitu memberi kesan nyata secara keseluruhan.

“Antara sebabnya termasuklah realiti bilangan pengundi yang keluar mengundi waktu itu agak rendah dengan kira-kira 55 peratus sahaja manakala bilangan pengundi muda yang keluar mengundi juga sangat rendah, hanya mewakili kira-kira enam peratus sahaja daripada jumlah pengundi.

Selain itu, beliau berkata dapatan beberapa kajian yang dijalankan sehingga kini juga mendapati pengundi muda tidak menunjukkan minat dan kecenderungan serta keutamaan yang tinggi dalam soal berkaitan politik.

“Saya fikir agak rasional untuk kita merumuskan secara umum bahawa pengundi muda tidak akan memberi kesan yang besar kepada keputusan PRU15 akan datang.

”Dengan kata lain, trend yang ditunjukkan adalah jelas bahawa keputusan pilihan raya masih lagi ditentukan oleh mereka yang bukan daripada kalangan pengundi muda, sama ada mereka keluar mengundi ataupun seperti berlaku di Johor, mereka tidak keluar mengundi,” katanya.

Justeru, beliau mengunjurkan bilangan pengundi muda yang akan keluar mengundi pada PRU15 secara keseluruhannya adalah rendah dengan jangkaan tidak lebih 30 peratus.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan