Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: BN Johor tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan besar PRN, kata Hasni

Kepimpinan peringkat pusat meletakkan harapan BN Johor menyumbang sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen, namun setakat ini BH Johor yakin boleh menang hanya 10 kerusi, kata Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad.

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan besar dicatatkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu akan berulang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad berkata berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan terutamanya selepas PRN Johor pada Mac lalu, gabungan tersebut ketika ini dikatakan boleh memenangi 10 daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan walaupun pimpinan pusat meletakkan sasaran jauh lebih tinggi. 

Beliau berkata 10 kerusi Parlimen itu adalah Parit Sulong, Sembrong, Mersing, Tenggara, Kota Tinggi, Pontian, Pengerang, Ayer Hitam, Tanjung Piai dan Tebrau.

"Kepimpinan peringkat pusat meletakkan harapan dengan mengarahkan BN Johor menyumbang sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen. Namun berdasarkan bacaan yang dibuat, setakat ini kita yakin boleh menang hanya 10 kerusi, itu pun ada beberapa kerusi yang masih 50-50. 

"(Tetapi) Peluang untuk mencapai 20 kerusi bukan mustahil, kita perlu bersama-sama mengukur kekuatan dan mencari satu formula terbaik,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Dalam Bahagian Tebrau di Ulu Tiram malam tadi (17 Ogos).

Pada PRU14, daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, BN hanya memenangi lapan kerusi dengan UMNO tujuh kerusi (Parit Sulong, Sembrong, Mersing, Tenggara, Kota Tinggi, Pontian dan Pengerang) dan MCA satu kerusi iaitu Ayer Hitam. 

Pada Disember 2018, Ahli Parlimen Mersing Dr Abd Latif Ahmad menyertai Bersatu, menjadikan kerusi Parlimen Johor yang dipegang BN sebanyak tujuh kerusi.

Bagaimanapun, dengan Dr Wee Jeck Seng daripada MCA memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov 2019, menjadikan kerusi Parlimen yang dipegang BN kembali kepada lapan kerusi.

Sementara itu, Encik Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata tidak menjadi Menteri Besar walaupun berjaya memimpin UMNO dan BN untuk menang dalam PRN tidak menjadi isu buat dirinya kerana telah berjaya mencapai pelbagai kejayaan termasuk memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam PRN Johor.

"UMNO terus bekerjasama dengan institusi Diraja, bekerjasama dalam membentuk sebuah kerajaan yang kuat, hari ini dipimpin oleh barisan kepimpinan muda yang harus diberi ruang dan peluang untuk terus menonjolkan kebolehan dan kepimpinan mereka," kata Encik Hasni.

Sementara itu, mantan Menteri Besar Johor itu sempat berseloroh dengan berteka-teki tentang masa depan politiknya sama ada beliau akan dicalonkan bagi kerusi Parlimen dalam PRU15 atau tidak.

"(Parlimen) Pontian, tempat Setiausaha Agung UMNO (Ahmad Maslan)… Ketua Bahagiannya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO (Hasni), dengarnya nak diberi peluang bertanding Parlimen, macam mana agaknya? Tetapi tidak mengapa, itu rahsia orang Pontian, tetapi sesiapa pun saya percaya boleh menang di kerusi itu," katanya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan