Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15 bermula hari ini dengan proses penamaan calon di 222 pusat merata M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15 bermula hari ini dengan proses penamaan calon di 222 pusat merata M'sia

Gambar: CNA/Fatihah Kamaruddin, Gaya Chandramohan

Diterbitkan : 05 Nov 2022 08:36AM Dikemas Kini : 05 Nov 2022 10:04AM
PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memilih kerajaan baru Malaysia bermula hari ini (5 Nov) dengan proses penamaan calon di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara.

Turut diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini (5 Nov) selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 Nov.

Selain 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, pilihan raya bagi 116 kerusi DUN di Perlis, Pahang dan Perak turut diadakan serentak selepas ketiga-tiga negeri itu membubarkan DUN masing-masing menyusuli pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Okt lalu.

Daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRU15, pilihan raya negeri dan PRK Bugaya adalah Daftar Pemilih Tambahan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt 2022.

Negeri-negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta yang diterajui PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak membubarkan DUN dan tiada pilihan raya peringkat DUN berkenaan.

Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini telah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing. PRN Sabah diadakan pada 26 Sep 2020, Melaka (20 Nov 2021), Sarawak (18 Dis 2021) dan Johor (12 Mac 2022).

PRK DUN Bugaya pula diadakan bersekali dengan PRU15 berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 dan tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Sebelum penggal Parlimen ke-14 dibubarkan, komposisi kerusi Dewan Rakyat menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dengan 90 kerusi, Barisan Nasional (43), Bersatu (28), Gabungan Parti Sarawak (19), PAS (17), Warisan (tujuh), Parti Bangsa Malaysia (enam), Parti Pejuang Tanah Air (empat), Bebas (tiga) dan masing-masing satu kerusi bagi parti MUDA, Parti Sarawak Bersatu dan STAR.

Dua kerusi kosong selepas kematian penyandangnya iaitu Hasbullah Osman dari BN bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Liew Vui Keong dari Parti Warisan bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan