Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Berakhirnya penguasaan keluarga Anwar Ibrahim di Permatang Pauh

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: Berakhirnya penguasaan keluarga Anwar Ibrahim di Permatang Pauh

Nurul Izzah melahirkan rasa syukur untuk menyambut bulan Ramadan dengan kepulangan ayahnya. (Gambar: Instagram/ Nurul Izzah)

PERMATANG PAUH: Selama 40 tahun dalam tangan keluarga Anwar Ibrahim, kawasan undi parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang kali ini terlepas ke tangan PAS.

Dalam tempoh itu para pengundi kawasan undi di Pulau Pinang itu memilih Anwar Ibrahim, kemudian isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail dan setelah itu anak mereka, Nurul Izzah sebagai Ahli Parlimen mereka.

Namun dalam PRU15, Nurul Izzah, calon Pakatan Harapan (PH) kalah di tangan calon PN-PAS, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan perbezaan 5,272 undi.

Encik Muhammad Fawwaz meraih 37,638 undi sementara Cik Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, mendapat 32,366 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Mohd Said (16,971 undi) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang-Putra) meraih 473 undi.

Encik Muhammad Fawwaz, yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, berkata beliau bersyukur dan berharap dapat mengotakan janji-janjinya dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Saya ingin meminta maaf jika ada membuat silap sepanjang berkempen dan saya berhasrat untuk menyatupadukan Permatang Pauh. Kita semua bersaudara," katanya kepada wartawan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di Bukit Mertajam, Permatang Pauh pada Ahad (20 Nov).

Pada PRU6, April 1982, Encik Anwar yang menjadi calon BN ketika itu, merampas kerusi tersebut daripada PAS apabila mengalahkan Encik Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi.

Encik Anwar menyandang kerusi berkenaan sehingga tahun 1999 apabila beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, selain menjalani hukuman penjara selepas dikenakan pertuduhan rasuah dan liwat.

Dr Wan Azizah bertanding di kerusi Parlimen berkenaan dan menang dalam tahun 1999 (PRU10) dan kekal sebagai Ahli Parlimennya sehingga 2008.

Pada 31 Julai 2008, beliau mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada Encik Anwar untuk kembali ke Parlimen menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas suaminya itu dibebaskan dari penjara.

Encik Anwar mengekalkan kerusi itu pada 2013, namun statusnya sebagai Ahli Parlimen ditarik balik setelah sabitannya dalam kes liwat pada 2015.

Dr Wan Azizah kembali menang di Permatang Pauh dalam PRK selepas itu dan menyandangnya sehingga PRU14 sebelum Cik Nurul Izzah mempertahankan kerusi itu apabila menewaskan Mohd Zaidi (BN-UMNO) dengan majoriti 15,668 undi.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan