Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Anwar Ibrahim akan potong gaji, elaun PM jika dilantik Perdana Menteri M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim memberi jaminan sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), perkara pertama yang akan dilakukan adalah dengan melakukan pemotongan gaji dan elaun bagi jawatan berkenaan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, keputusan sedemikian dibuat susulan keadaan ekonomi negara Malaysia yang didakwa semakin mencengkam rakyat di pelbagai peringkat, lapor Astro AWANI.

“Rakyat hidup susah, derita dengan upah yang rendah, kemudahan anak-anak tidak terkawal dan kemudahan kesihatan ibu bapa tidak terurus.

“Maka biar saya beri jaminan di sini, kalau diizin oleh Allah SWT, 20 hari bulan saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, yang pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri itu sendiri.

“(Gaji dan elaun untuk) Menteri-menteri saya akan runding kemudian, akan tetapi untuk (gaji dan elaun) perdana menteri, saya nak beri tahu, kalaulah keadaan ekonomi seperti ada sekarang, saya tidak sanggup ambil gaji sebagai perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Harapan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di Ipoh pada Khamis malam (20 Okt).

Hadir sama, Timbalan-timbalan Pengerusi PH yang antaranya, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Panglima Wilfred Madius Tangau; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; serta Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, menurut laporan Astro AWANI itu lagi.

Dalam pada itu, Encik Anwar berkata sekiranya PH berjaya menawan kembali Putrajaya, jumlah anggota kabinet juga akan dikurangkan berbanding sebelum itu.

“Dari Encik Mahathir Mohamad turun ke Encik Muhyiddin dapat jawatan (perdana menteri), tambah bilangan menteri. Kehidupan rakyat tidak terurus.

“Daripada Encik Muhyiddin dapat kepada Encik Ismail, jumlah menteri bertambah, Penasihat perdana menteri bertambah.

“Nasib rakyat, entah ke mana juga. Dasar ekonomi tidak menentu, pelaburan tidak datang, keyakinan (pelabur) tidak ada. Doakan insya-Allah, Dari Encik Ismail sampai kepada saya, kita ubah landskap politik dan ekonomi negara kita,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Encik Anwar merupakan calon perdana menteri sekiranya PH berjaya memenangi PRU15.

Katanya perkara itu diputuskan selepas beberapa siri rapat temu dan mesyuarat antara pimpinan tertinggi gabungan itu.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan