Skip to main content

Dunia

PRU15: Amaran Rafizi Ramli terhadap Ketua SPRM adalah ugutan terhadap penjawat awam, kata Timbalan Presiden Bersatu

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: Amaran Rafizi Ramli terhadap Ketua SPRM adalah ugutan terhadap penjawat awam, kata Timbalan Presiden Bersatu

Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu. (Gambar: Ahmad Faizal Azumu/Facebook)

KUALA LUMPUR: Tindakan Rafizi Ramli memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bahawa Pakatan Harapan (PH) akan 'mencarinya' jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah satu ugutan terbuka kepada penjawat awam.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahmad Faizal Azumu, berkata tindakan Timbalan Presiden PKR itu terhadap Azam Baki, tidak sepatutnya berlaku.

"Ugutan dan ancaman ini dibuat semata-mata kerana SPRM menjalankan siasatan ke atas syarikat milikan Rafizi, iaitu Invoke, berdasarkan laporan yang diterima daripada awam."

"Ugutan oleh Rafizi adalah suatu pengakuan terbuka oleh beliau bahawa PH yang didominasi oleh DAP mempunyai rancangan untuk menyalah guna kuasa kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang hanya menjalankan tugas."

"Penyalahgunaan kuasa adalah kesalahan jenayah serius di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM."

"Ini akan mempunyai kesan buruk terhadap kesemua penjawat awam yang sekian lama telah menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan tanpa berpihak."

"Tidak pernah dalam sejarah negara, seorang pemimpin utama sebuah gabungan politik besar iaitu PH, membuat pengakuan terbuka akan menyalah guna kuasa untuk membalas dendam terhadap penjawat awam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis (17 Nov), lapor Astro Awani.

Beliau berkata, tindakan Encik Rafizi itu juga jelas menunjukkan beliau serta pimpinan PH menganggap mereka terkecuali daripada undang-undang dan penguatkuasaan.

"Selari dengan ini, setelah membentuk kerajaan pada tahun 2018, PH bertindak untuk mengugurkan kes rasuah terhadap pemimpin utama PH iaitu Lim Guan Eng, walaupun ini dibantah oleh SPRM," dakwanya, menurut Astro Awani.

Beliau dalam pada itu menuntut supaya majlis tertinggi PH termasuk Pengerusi PH, Anwar Ibrahim menyatakan pendirian dengan segera atas penghinaan dan ugutan terhadap penjawat awam oleh Rafizi.

"Adakah PH dan Anwar sedia menarik balik ugutan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM dan meminta maaf kepada kesemua penjawat awam negara?," katanya sambil mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Rafizi.

Encik Rafizi dalam Ceramah Mega PH di Johor Bahru semalam (16 Nov) dilapor berkata, PH akan 'mencari' Azam sekira pakatan itu menang pada PRU15.

”Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi."

“Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, insya-Allah,” kata Rafizi, lapor Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita