Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Amanah Pahang bertanding 4 kerusi Parlimen, 16 DUN

Anggaran Waktu Membaca:

KUANTAN: Amanah Pahang pada Selasa (1 Nov) mengumumkan akan meletakkan calon di empat kerusi Parlimen dan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus menyaksikan pertambahan kerusi bagi parti itu berbanding PRU14. 

Pengerusi Amanah Pahang Zulkifli Mohamed berkata pemilihan calon terdiri daripada gandingan muka baru dan lama selain daripada pelbagai latar belakang antaranya golongan profesional dan ahli perniagaan selain calon wanita bagi dua kerusi DUN iaitu Guai dan Tanjung Lumpur. 

Beliau berkata calon termuda ialah Pengarah Komunikasi dan Media Baru Negeri Ahmed Wafiuddin Shamsuri berusia 27 tahun yang akan bertanding di DUN Pelangai.

"Pada PRU kali ini berlaku pertambahan kerusi yang ditandingi iaitu 16 kerusi DUN berbanding 11 sebelum ini manakala bagi kerusi Parlimen, empat kerusi ditandingi berbanding satu pada PRU14,” katanya pada sidang media pada Selasa (1 Nov). 

Bagi calon kerusi Parlimen, mereka terdiri daripada Pengarah Pilihan Raya Negeri Ahmad Azam Mohamad Salleh yang akan bertanding di Paya Besar, Ketua Kawasan Maran Ahmad Shuhor Awang (Maran); Ketua Kawasan Tangga Batu Juhari Osman (Kuala Krau) dan Ketua Pemuda Nasional Mohd Hasbie Muda (Temerloh).  

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Pahang Mohd Fadli Mohd Ramly berkata Amanah akan mengumumkan manifesto khusus untuk negeri Pahang dalam masa terdekat.

Pada PRU14, BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh sembilan dan PAS, lapan.

Bagi kerusi Parlimen pula, daripada 14 kerusi Parlimen, BN menang sembilan dan bakinya PH.

Bagaimanapun, PH hilang satu kerusi apabila Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah mengumumkan keluar PKR dan menyertai Bersatu pada tahun 2020.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan