Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15: Amanah akan tandingi 54 kerusi Parlimen seluruh M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: Amanah akan tandingi 54 kerusi Parlimen seluruh M'sia

Sidang Media Pengumuman Rasmi Calon Parti Amanah Negara (Amanah) dihadiri Presiden Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Salahuddin Ayub, Pengarah Komunikasi Khalid Abdul Samad dan Setiausaha Agung Dr Mohd Hatta Md Ramli pada 30 Oktober 2022. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) akan meletakkan calon untuk bertanding di 54 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 Nov nanti.

Jumlah itu meningkat 35 peratus berbanding kerusi Parlimen yang ditandingi Amanah semasa PRU14 pada 2018, iaitu sebanyak 27 kerusi.

Timbalan Presiden Salahuddin Ayub berkata beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Pulai manakala Presiden Mohamad Sabu akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja.

Turut diumumkan sebagai calon ialah dua Naib Presiden iaitu Mahfuz Omar dan Dr Mujahid Yusof Rawa masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena dan kerusi Parlimen Parit Buntar.

Selain itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Titiwangsa manakala Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad pula akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Dalam pengumunan di Wisma Amanah Negara, empat penyandang digugurkan sebagai calon iaitu Naib Presiden Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Tampin Dr Hasan Bahrom dan Ahli Parlimen Temerloh Mohd Anuar Mohd Tahir.

Bagi calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Sepang ialah Raj Muni Aiman Athirah, Mohd Hasbie Muda (Temerloh), Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat) dan Muhammad Faiz Fadzil (Tampin), manakala kerusi Parlimen Shah Alam yang disandang Khalid sejak 2008 akan ditandingi oleh Azli Yusof.

Encik Khalid berkata keempat-empat penyandang sebelum ini tidak dinamakan sebagai calon bagi memberikan peluang kepada muka baru untuk bertanding dalam PRU15.

“Ia tidak menggambarkan seolah-olah mereka tidak berprestasi dengan baik, (tetapi) hanya satu peralihan dan pertukaran yang kita nak galakkan berlaku di Amanah...kita ingin bakat baru dan muka baru diberi peluang."

“Mereka semua telah menunjukkan prestasi yang baik dan memuaskan dan kita anggap ini peluang untuk muka baru,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Encik Mohamad berkata watikah pencalonan kesemua calon Amanah yang akan bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) akan dipersetujui Pengerusi PH Anwar Ibrahim dahulu.

Katanya, watikah pencalonan itu akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon pada 5 Nov.

Ditanya mengenai reaksi dua ahli Amanah yang keluar parti, Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Husam Musa yang bertanding di bawah tiket PKR, Encik Mohamad berkata tindakan itu dialu-alukan memandangkan mereka masih di bawah PH.

Encik Nik Omar akan bertanding di bawah tiket PKR di Parlimen Pasir Salak dan Encik Husam menjadi calon PKR bagi kerusi Parlimen Pasir Mas.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan