Skip to main content

Dunia

PRU15: 432 ceramah politik dianjur tanpa permit; Polis M'sia tahan 2 individu

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: 432 ceramah politik dianjur tanpa permit; Polis M'sia tahan 2 individu

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Hazani Ghazali. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penganjuran 432 ceramah politik tanpa permit sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Jumaat (11 Nov) berbanding 46 ceramah pada Khamis (10 Nov).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Hazani Ghazali berkata Sabah menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah ceramah tanpa permit sebanyak 425, diikuti Selangor (tiga), Kelantan (dua) serta masing-masing satu di Perlis dan Pahang.

Beliau berkata polis mengeluarkan 1,037 permit mengadakan ceramah sepanjang kempen PRU15 pada Jumaat iaitu sebanyak 137 di Kedah, Negeri Sembilan (172), Perak (155), Selangor (147), Pahang (131), Kelantan (98), Melaka (54), Sarawak (44), Pulau Pinang (22), Perlis (21) dan Kuala Lumpur (20).

“Kita turut membuka 14 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya menghasut, ugutan jenayah, merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik serta calon semalam,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (12 Nov).

Encik Hazani yang juga Pengarah Operasi PRU15 PDRM berkata ia membabitkan siasatan tiga kes di Melaka, Kedah (dua), Negeri Sembilan (dua), Johor (dua) serta masing-masing satu kes di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Sarawak.

Beliau berkata dua individu turut ditahan di Perak dan Terengganu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita