PRU15: 32 daripada 127 calon wanita menang kerusi Parlimen M'sia, 15 kerusi DUN
Gambar: Bernama
KUALA LUMPUR: Seramai 32 daripada 127 calon wanita yang bertanding untuk mengisi kerusi parlimen Malaysia berjaya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
16 daripada 127 calon wanita itu dari Pakatan Harapan (PH), lima orang calon Gerakan Parti Sarawak (GPS), tujuh orang adalah wakil Perikatan Nasional (PN), tiga daripada Barisan Nasional (BN) dan seorang adalah calon parti Warisan.
Antara calon PH yang menang ialah mantan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail di kawasan undi Bandar Tun Razak dengan majoriti 9,817 manakala Teo Nie Ching, Teresa Kok Sim dan Hannah Yeoh berjaya mempertahankan kerusi masing-masing di Kulai, Seputeh dan Segambut.
Sementara itu, mantan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Nancy Shukri yang bertanding di kerusi Parlimen di Santubong memperoleh undi majoriti sebanyak 19,485 selain Rubiah Wang mempertahankan kerusi Parlimen Kota Samarahan. Mereka adalah calon-calon daripada GPS.
Calon muka baru, Rodiyah Sapiee turut memberi kemenangan untuk GPS di Parlimen Batang Sadong selepas mengalahkan pesaing dari PH, Lahaji dengan majoriti 14,893 undi.
Dalam pada itu, antara calon wanita BN yang memenangi kerusi adalah Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dr Noraini Ahmad di Parlimen Parit Sulong, dengan majoriti 11,474 undi, selepas memperoleh 25,740 undi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Azalina Othman Said juga terus mempertahankan kerusi Parlimen Pengerang apabila berjaya meraih sebanyak 21,738 undi selain Siti Aminah Aching memenangi kerusi di Parlimen Beaufort.
Bagi calon wanita PN, Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah yang dimenangi dalam PRU14 atas tiket BN selepas memperoleh 25,604 undi dengan majoriti 4,411 menewaskan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.
Ketua Wirawati Warisan Isnaraissah Munirah Majilis yang menjadi calon tunggal wanita yang memenangi kerusi Warisan sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Kota Belud dengan majoriti 4,582 undi.
Selain itu, kubu kuat PH, Parlimen Permatang Pauh yang sinonim dengan legasi keluarga Anwar Ibrahim tumbang di tangan parti lawan apabila Nurul Izzah tewas kepada calon PN, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272.
Penyandang Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin juga gagal mempertahankan kerusinya selepas tewas dalam pertembungan sembilan penjuru di kawasan itu apabila hanya meraih 4,589 undi.
Dalam persaingan untuk mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis, Perak, Pahang dan Bugaya di Sabah pula 60 calon wanita bertanding.
15 daripada mereka menang.
Secara keseluruhannya jumlah calon wanita dalam PRU15 iaitu 187 orang, merosot dibandingkan semasa PRU14 seramai 251 orang.
Pilihan raya kali ini turut menyaksikan PH memenangi 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam),Warisan (tiga), PBM satu kerusi dan dua calon bebas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.