Skip to main content

Dunia

Proton bakal bina kilang pemasangan di Pakistan

Pengeluar kereta negara Malaysia, Proton, akan bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi mewujudkan kilang pemasangan pengeluaran di Pakistan, kilang pertama Proton di kawasan Asia Selatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Proton bakal bina kilang pemasangan di Pakistan

Gambar fail kereta Proton di bilik pameran Kuala Lumpur. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 21 Mar 2019 03:14PM Dikemas Kini : 21 Mar 2019 03:19PM

ISLAMABAD: Pengeluar kereta negara Malaysia, Proton, akan bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi mewujudkan kilang pemasangan pengeluaran di Pakistan, kilang pertama Proton di kawasan Asia Selatan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Ikram Mohammad Ibrahim berkata perjanjian antara Proton dan rakan perniagaan dari Pakistan Alhaj Automotive, dimeterai tahun lepas, dengan Proton mengunjurkan potensi yang besar untuk syarikat itu.

“Dari segi potensi pasaran kenderaan di Pakistan, Proton rasakan potensinya amat besar. Itulah sebabnya Proton setuju bekerjasama dengan Alhaj Automotive untuk membina kilang pemasangan berhampiran Karachi di wilayah Sindh.

“Ia signifikan kerana ini akan menjadi kilang pertama Proton di Asia Selatan berdasarkan jumlah penduduk di negara ini sahaja sudah 210 juta,” katanya kepada media Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan.

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Pakistan Imran Khan, dijangka menyaksikan acara simbolik upacara pecah tanah kilang Proton itu pada Jumaat.

Dr Mahathir akan mengadakan lawatan rasmi ke Pakistan selama tiga hari bermula Khamis.

Encik Ikram berkata pembinaan kilang itu merupakan elemen penting dalam perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara memandangkan Proton merupakan ilham Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri buat pertama kali dahulu.

Katanya sewaktu lawatan Dr Mahathir, kedua-dua Perdana Menteri itu juga akan berbincang dengan lebih terperinci mengenai usaha mempertingkat hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Pada 2018, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara bernilai RM5.91 bilion (S$1.96 bilion), peningkatan sebanyak 2.5 peratus berbanding RM5.76 bilion (S$1.91 bilion) pada 2017.

Pakistan merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

Encik Ikram berkata Pakistan merupakan negara destinasi terbesar eksport Malaysia di Asia Selatan dan ketiga terbesar bagi destinasi import Malaysia.

“Bagi Pakistan, Malaysia merupakan rakan dagang ke-16 terbesar pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata dari segi pelaburan, perangkaan State Bank Paskistan bagi tahun kewangan 2017/2018, merekodkan Malaysia sebagai negara asing ketiga terbesar di Pakistan selepas China dan United Kingdom.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita