Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Prosiding kes 'Raja Bomoh' ditunda 2 bulan lagi

Anggaran Waktu Membaca:

IPOH: Prosiding kes melibatkan Ibrahim Mat Zin, yang juga digelar 'Raja Bomoh', yang disiasat atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam di Mahkamah Rendah Syariah ditangguhkan dua bulan lagi, lapor Astro Awani.

Hakim Syarie Azman Saad membuat ketetapan berkenaan selepas membenarkan permohonan pendakwa Syarie, Suhaili Ishak untuk melengkapkan siasatan sebelum mengemukakan kertas pertuduhan.

"Saya sebenarnya berhasrat untuk tidak memanjangkan tempoh siasatan ini. Saya dengan ini membenarkan penangguhan dua bulan dan ini adalah tempoh penangguhan yang terakhir.

"Dilepaskan tidak bermaksud tidak didakwa, akan tetapi mengikut prosiding mahkamah, ini adalah tangguhan terakhir. Tidak boleh lama-lama," kata beliau.

Azman menetapkan kes Ibrahim, 71 tahun, bersama sepupu, Suliaha Abdul Hamid, 62 tahun, yang dikenali sebagai 'Puteri Zaleha', akan disebut semula pada 25 April ini, seperti dinukil Astro Awani.

Selain itu, beliau membenarkan permohonan Suliaha untuk menukar penjamin ekoran penjamin sebelum ini dijangkiti COVID-19 selain sukar untuk hadir ke mahkamah.

Pada 7 Januari lalu, Ibrahim dan Suliaha dibebaskan dengan diperintahkan membayar wang jaminan RM3,000 bersama seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Kedua-dua individu itu disiasat di bawah Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 di sebuah rumah di Taman Rapat Jaya 1, Ipoh sekitar jam 3.45 petang pada 6 Januari lalu.

BACA:Kes ritual tolak banjir; Raja Bomoh, Puteri Zaleha dibebas dengan ikat jamin

Siasatan ke atas mereka berdua dibuat menyusuli satu ritual yang didakwa boleh menolak musibah banjir dan ritual tersebut dilakukan di Dataran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Teluk Intan.

Rakaman video ritual tersebut kemudian tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi awam, lapor Astro Awani.

Menyusuli kejadian itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan