Proses undi PRU15 selesai, 70% keluar undi setakat jam 4 petang

Gambar: Bernama
KUALA LUMPUR: Waktu pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia ditutup jam 6.00 petang tadi. Kini proses pengiraan undi bagi 220 kerusi Parlimen dan 117 kerusi DUN Perlis, Perak, Pahang serta Bugaya di Sabah.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 70 peratus pengundi yang layak di seluruh Malaysia telah keluar mengundi undi setakat jam empat petang tadi.
Pada 2018, dengan peratusan keluar mengundi akhir sebanyak 82.3 peratus, jumlah keseluruhan pengundi yang menyertai pilihan raya itu ialah 12.99 juta.
Ini bermakna, lebih ramai rakyat Malaysia telah mengundi hari ini berbanding PRU14.
Disebabkan bilangan pengundi yang lebih tinggi tahun ini, peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus bermakna lebih 13.76 juta undi.
Ini adalah lebih 1.46 juta lebih pengundi daripada jumlah keseluruhan pada pilihan raya umum ke-14.
Proses pengundian PRU15 bermula secara rasmi pada 7.30 pagi di Sabah, Sarawak dan Labuan manakala di Semenanjung bermula 8 pagi.
Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah yang tertangguh berikutan proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.
Pada pukul 9.00 pagi tadi, SPR melaporkan sembilan peratus orang sudah mengundi.
Jumlah tersebut meningkat sekitar 10 peratus setiap jam, seperti berikut:
Pukul 9.00 pagi: 9% undi
Pukul 10.00 pagi: 20% undi
Pukul 11.00 pagi: 31% undi
Pukul 12.00 tengah hari: 42% undi
Pukul 1.00 tengah hari: 50% undi
Editor Ehwal Semasa Astro Awani, Ibrahim Sani, menerusi catatan di akaun Twitter beliau berkongsi perbandingan peratusan undi setiap jam antara PRU15 dengan PRU14.
PRU15 3.00 petang: 13.65 juta (65%)
PRU14 3.00 petang: 10.5 juta (70%)
PRU15 2.00 petang: 12.18 juta (58%)
PRU14 2.00 petang: 9.26 juta (62%)
PRU15 1.00 tengah hari: 10.5 juta (50%)
PRU14 1.00 tengah hari: 8.2 juta (55%)
PRU15 12.00 tengah hari: 8.82 juta (42%)
PRU14 12.00 tengah hari: 7.0 juta (47%)
PRU15 11.00 pagi: 6.5 juta (31%)
PRU14 11.00 pagi: 5.39 juta (36%)
PRU15 10.00 pagi: 4.2 juta (20%)
PRU14 10.00 pagi: 2.9 juta (24%)
Hari ini merupakan pilihan raya pertama sejak had usia pengundi diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi diperkenalkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.