Proses tukar RM7.5 juta kepada 35 cek babitkan Zahid Hamidi adalah aktiviti 'cuci duit'
Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (9 Mac) diberitahu bahawa proses penukaran wang tunai berjumlah RM7.5 juta (S$2.4 juta) kepada 35 cek dalam kes Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah aktiviti 'cuci duit' daripada sumber yang meragukan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (9 Mac) diberitahu bahawa proses penukaran wang tunai berjumlah RM7.5 juta (S$2.4 juta) kepada 35 cek dalam kes Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah aktiviti 'cuci duit' daripada sumber yang meragukan.
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Fahmee Mohamad Nor, 39, berkata ini berdasarkan siasatannya terhadap keseluruhan kes melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.
Saksi pendakwaan ke-95 itu berkata demikian pada hari ke-49 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Mengikut pertuduhan pengubahan wang haram ke-27, Ahmad Zahid didakwa telah mengarahkan pengurup wang Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 (S$2.4 juta) membabitkan 35 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Lewis & Co untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank yang merupakan hasil aktiviti haram.
Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong, saksi itu berkata Omar Ali memberitahu bahawa beliau tidak mengenali individu yang memberi wang tersebut kepadanya sebelum menukarnya kepada cek atas nama Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.
"Omar Ali mengatakan bahawa beliau tidak mengenali individu yang memberi wang tersebut dan hanya memaklumkan orang itu berpakaian kemas dan ia (pemberian wang) adalah arahan daripada Zahid," katanya.
Pada Isnin (8 Mac), Mohd Fahmee memberitahu mahkamah bahawa Omar Ali memperoleh sejumlah wang yang banyak daripada beberapa individu yang tidak dikenali di Syarikat Marhaba Enterprise Sdn Bhd, miliknya.
Ditanya Harris Ong, adakah hasil siasatan mendapati wang tersebut adalah sumbangan daripada Yayasan Al Bukhary, Mohd Fahmee menjawab: "Tidak, dan sepanjang siasatannya tidak menemui resit berkaitan sumbangan daripada yayasan tersebut."
"Yayasan Al Bukhary merupakan sebuah yayasan yang besar, namun saya tidak menjalankan siasatan ke atasnya secara mendalam. Saya tidak lihat akaun (yayasan), tidak rakam percakapan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary.
"Saya putuskan untuk tidak menyiasat yayasan itu secara mendalam kerana Omar Ali tidak mengenali orang yang memberi duit tersebut," jawabnya ketika disoal mengenai siasatan terhadap yayasan tersebut.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.