Proses rayuan terakhir Najib Razak bermula Isnin
(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Bermula Isnin (15 Ogos), bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak bakal melalui proses rayuan terakhirnya berhubung sabitan terhadap kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Media melaporkan proses rayuan melibatkan Ahli Parlimen Pekan itu akan diadakan di Mahkamah Persekutuan selama 10 hari, antara 15 Ogos hingga 26 Ogos 2022.
Encik Najib menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan menyalah guna kuasa pada 4 Julai 2018.
Pada 8 Ogos 2018, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
PERBICARAAN DI MAHKAMAH TINGGI
Sewaktu awal pendengaran kes, pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara ketika itu, iaitu Tommy Thomas, manakala pasukan pembelaan diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Perbicaraan pada mulanya dilakukan di hadapan Mohd Sofian Abd Razak, bagaimanapun Hakim itu menarik diri atas alasan beliau merupakan adik kepada salah seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang, yang juga ADUN Benta dari UMNO, Mohd Soffi Abd Razak
Sehubungan itu, Mohd Sofian digantikan oleh Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan surat pertukaran itu ditandatangani
Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim.
Pada 3 April 2019, perbicaraan bermula selepas Mohd Nazlan menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadap kes beliau sebagai tidak sempurna.
Pada 11 November tahun yang sama, Mohd Nazlan memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Encik Najib, sekali gus memerintahkan bekas Perdana Menteri itu untuk membela diri terhadap kesemua tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
NAJIB PM PERTAMA DISABIT KESALAHAN
Selepas 19 saksi memberi keterangan, termasuk Encik Najib sebagai saksi utama pembelaan bagi menjawab tuduhan ke atasnya, Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 mendapati Encik Najib bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya.
Memetik laporan Bernama, Mohd Nazlan dalam alasan penghakimannya berkata, Encik Najib berada di kedudukan untuk mengakses dana yang diperlukan dari SRC International bagi tujuan tertentu.
Katanya lagi, fakta menunjukkan pihak yang terlibat ialah Kabinet iaitu Kerajaan dan SRC International Sdn Bhd, sekali gus menunjukkan kelulusan Kabinet berhubung penyaluran RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) ke syarikat tersebut, memberi manfaat kepada Encik Najib.
“Sehubungan itu, dalam penghakiman saya, selepas memeriksa pembelaan tertuduh dan menimbang semua pembelaan dalam kes ini, saya dapati pembelaan gagal menyangkal sangkaan menurut Seksyen 23(2) Akta SPRM…
“… mengenai keseimbangan kebarangkalian atau menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dari segi tuduhan ke atas tertuduh mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM,” kata Mohd Nazlan lagi.
Bagaimanapun beliau membenarkan permohonan pembelaan agar Najib tidak menjalani hukuman sehingga selesai rayuan di peringkat seterusnya iaitu di Mahkamah Rayuan.
Mohd Nazlan kemudian meningkatkan jumlah ikat jamin Najib dari RM1 juta kepada RM2 juta dengan dua penjamin.
Kes tersebut mendapat liputan meluas, bukan sahaja dari dalam, tetapi juga di luar negara memandangkan beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama yang dituduh dan disabitkan kesalahan di Mahkamah.
Bagaimanapun Encik Najib telah menfailkan petisyen rayuan pada 30 Julai 2020, dengan 307 alasan mengapa keputusan Mohd Nazlan perlu ditolak, sekali gus membebaskan bekas Perdana Menteri itu daripada kesemua sabitan.
Pihak pendakwaan pula, memberitahu media pada 11 Ogos, mereka juga telah mengemukakan petisyen rayuan bagi menambah hukuman penjara dan denda ke atas Encik Najib.
RAYUAN AKHIR DI MAHKAMAH PERSEKUTUAN
Prosiding selama sembilan hari itu dijangka akan didengari panel lima hakim, namun sehingga artikel ini ditulis, media masih belum mendapat senarai hakim yang berkenaan.
Perbicaraan tersebut dijangka akan terus mendapat liputan meluas dari media, baik di dalam dan luar negara.
Prosiding dijangka akan dimulakan dengan pendengaran permohonan Encik Najib untuk memasukkan bukti baru membabitkan hakim bicara, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan).
Sekiranya permohonan itu gagal, prosiding akan diteruskan dengan rayuan akhir itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.