Skip to main content

Dunia

Proses rakaman keterangan Ismail Sabri ditangguh lagi selepas dimaklum masih kurang sihat

Anggaran Waktu Membaca:
Proses rakaman keterangan Ismail Sabri ditangguh lagi selepas dimaklum masih kurang sihat

Encik Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan antara 2021 dengan 2022. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 07 Mar 2025 08:11AM Dikemas Kini : 07 Mar 2025 08:12AM
KUALA LUMPUR: Proses rakaman kenyataan mantan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan pada Jumaat (7 Mac) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ditangguh ke 13 Mac ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata proses rakaman percakapan membabitkan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram itu tidak dapat dilaksanakan kerana Ahli Parlimen Bera itu masih dalam keadaan kurang sihat.

"Sepatutnya beliau hadir esok (Jumaat), namun ia tidak dapat dilakukan kerana masih dalam cuti sakit," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan perdana menteri kesembilan itu dijangka hadir ke ibu pejabat SPRM, 10.00 pagi pada Jumaat bagi tujuan rakaman keterangan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan beliau.

Pada 10 Februari lepas, Encik Ismail Sabri menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari.

Sebelum ini, Encik Azam dilaporkan berkata mantan pemimpin itu merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta (S$51 juta) di dalam sebuah tempat selamat susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.

Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta (S$60,090), dengan kesemua akaun adalah sah dan aktif.

SPRM sebelum ini telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta (S$51 juta) dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta (S$2.1 juta).
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita