Skip to main content

Dunia

Proses bedah siasat mangsa nahas pesawat di Elmina selesai, tunggu hasil padanan DNA

Anggaran Waktu Membaca:
KLANG: Urusan bedah siasat ke atas semua mayat mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam Khamis lalu sudah selesai pada Jumaat malam (18 Ogos) dan menunggu hasil padanan asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata sebanyak 300 sampel cebisan mayat telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan padanan DNA dan 30 peratus berjaya diselesaikan.

Beliau berkata seramai 30 pegawai patologi dan forensik terlibat dalam bedah siasat berkenaan.

"Semalam, kita telah mendapat satu padanan DNA yang positif milik penunggang motosikal khidmat penghantaran Muhamad Hafiz Muhamad Saleh dan jenazah diserahkan kepada warisnya pagi ini.

"Pihak Jabatan Kimia sedang berusaha keras untuk melengkapkan semua padanan DNA dan kita positif semua urusan akan selesai Isnin ini," katanya dalam sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah pada Sabtu (19 Ogos).
Encik Hussein menjangkakan satu lagi jenazah akan dapat dikenal pasti pada Sabtu dan boleh diserahkan kepada waris pada Ahad.

Beliau berkata selain padanan DNA, urusan pengecaman jenazah juga dibuat menggunakan rekod pergigian dan cap jari.

"Setakat ini, polis telah berjaya mengenal pasti lapan cap jari mangsa," katanya.

Sementara itu, Encik Hussein berkata beliau berharap waris mangsa nahas berkenaan dapat menerima seadanya keadaan jenazah yang diserahkan kepada mereka kelak.

Beliau berkata terdapat cebisan-cebisan mayat yang terbakar dan tidak dapat diproses untuk mencari padanan DNA.

"Waris juga harus bersabar kerana proses padanan DNA adalah rumit dan sensitif, dan kita mahu semua cebisan mayat diserahkan kepada pemilik yang sebenarnya," katanya.

Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang itu menyaksikan sebuah pesawat peribadi terhempas dan mengorbankan kesemua dua anak kapal dan enam penumpang selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal khidmat penghantaran.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita