Skip to main content

Dunia

Prosedur perundangan Rosmah ikut undang-undang, kata Dr Mahathir

Prosedur perundangan terhadap Cik Rosmah Mansor, isteri kepada mantan Perdana Menteri Najib Razak, dilaksanakan mengikut undang-undang, kata Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Prosedur perundangan Rosmah ikut undang-undang, kata Dr Mahathir

Rosmah Mansor tiba di mahkamah pada 4 Okt (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Oct 2018 12:16PM Dikemas Kini : 04 Oct 2018 12:36PM

PUTRAJAYA: Prosedur perundangan terhadap Cik Rosmah Mansor, isteri kepada mantan Perdana Menteri Najib Razak, dilaksanakan mengikut undang-undang, kata Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk kepada dakwaan oleh anak perempuan Cik Rosmah, Nooryana Najwa Najib, bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agak melampau bertindak menangkap ibunya, Dr Mahathir berkata tindakan itu dibuat tanpa niat dendam.

"Jika ia bertentangan dengan undang-undang, proses perundangan akan dijalankan, itu janji kita dan tidak ada niat untuk berdendam dan apa jua seumpamanya.

"Undang-undang menyebut (bahawa) jika anda mencuri wang, anda akan didakwa di mahkamah. Sama ada mahkamah bersetuju atau tidak, itu perkara lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana kali keenam dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan pada Khamis (4 Okt).

Cik Nooryana Najwa, dalam catatan di Instagram semalam, berkata beliau boleh menerima hakikat tindakan ke atas bapanya Encik Najib, tetapi penangkapan ibunya dan penggeledahan rumah neneknya Tun Rahah Mohammad Noah adalah keterlaluan.

Awal hari ini Cik Rosmah Mansor dihadapkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai hampir RM7 juta. Beliau yang mengaku tidak bersalah kemudian dibenarkan ikat jamin RM2 juta (S$664,450).

mStar pula melaporkan, Hakim Azura Alwi turut membenarkan wang jaminan dibayar secara berperingkat dengan RM500,000 (S$166,100) dijelaskan pada Khamis.

Baki jaminan selebihnya perlu dilunaskan sebelum 11 Oktober ini.

Selain ikat jamin, Cik Rosmah turut diarahkan untuk menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mana-mana saksi berkaitan kes tersebut.

Sumber : Bernama/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita