Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Projek tebatan banjir dipercepatkan bagi kurangkan kesan banjir, kata PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Projek-projek tebatan banjir akan disegerakan untuk mengurangkan impak bencana itu di Malaysia pada masa depan, kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

Encik Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican sudah diarahkan untuk menyegerakan projek-projek tebatan banjir itu.

“Saya telah minta Perbendaharaan untuk segerakan proses tender segera untuk mengurangkan tekanan bagi tahun-tahun akan datang," katanya ketika berucap melancarkan Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) Pasca Banjir ke Johor di Putrajaya pada Selasa (21 Mac).

Seramai 1,520 penjawat awam yang mewakili pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan menyertai misi pascabanjir selama dua hari itu, yang dikhususkan ke kawasan yang terjejas di sekitar daerah Batu Pahat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sempena majlis pelepasan pasukan itu, misi berkenaan lebih tertumpu dan bersasar kepada aspek pembersihan kemudahan perubatan, kemudahan pendidikan, bangunan kerajaan serta tempat awam.

Pada 17 Mac lepas, Encik Anwar mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pascabanjir di Johor dengan RM150 juta (S$45 juta) peruntukan tambahan sudah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

Encik Anwar pada majlis hari ini merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang menyertai misi pascabanjir di Johor itu serta menyifatkannya sebagai tindakan luar biasa.

“Kehadiran saudara saudari, percayalah dapat mengurangkan (beban) rakyat yang tertekan. Saya berdoa kita semua dapat jalankan tugas dengan ikhlas dan diberkati,” katanya.

Encik Anwar berkata mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) juga sudah diminta untuk membantu misi pascabanjir di Johor.

“Pascabanjir ini mencabar, kita tahu jabatan dan keluarga di Johor tidak mampu kendalikan kecuali ada usaha tambahan,” katanya.

Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat menunjukkan penurunan dengan 6,740 orang masih ditempatkan di 43 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 7,972 orang di 44 PPS yang direkodkan pada 8.00 malam semalam (20 Mac).

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan