Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Projek RTS Link JB-S'pura berupaya salurkan 35% trafik Koswe

Anggaran Waktu Membaca:
Projek RTS Link JB-S'pura berupaya salurkan 35% trafik Koswe

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 18 May 2022 04:29PM Dikemas Kini : 18 May 2022 06:53PM

JOHOR BAHRU: Projek Sistem Kereta Api Laju (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan kegiatan ekonomi yang berpotensi berkembang lebih meluas seperti Koridor Barat Hong Kong-Shenzhen.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Mohd Zarif Hashim berkata nilai projek RTS Link tidak dapat diukur hanya daripada sudut pandangan pembinaannya kerana ia juga harus mengambil kira bagaimana ia mampu menarik pelaburan dalam jangka masa panjang.

"Pelaburan yang dibuat oleh kerajaan seharusnya memberikan pulangan dalam jangka pendek dan panjang. Jadi kami mahu seluruh dunia mengetahui bahawa terdapat banyak peluang pelaburan di Johor Bahru menyusuli projek RTS ini.

"Kami berhasrat untuk melihat agar suatu hari, koridor Johor Bahru-Singapura akan menjadi saingan atau sepadan dengan koridor Hong Kong-Shenzhen... itulah yang kami inginkan," katanya kepada wartawan semasa lawatan Sekolah Wharton Universiti Pennsylvania dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) ke Menara JL pada Rabu (18 Mei). 

RTS bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi akan menggalakkan lebih banyak perniagaan serta aktiviti rentas sempadan antara Singapura dengan Johor Bahru.

“Kami melihat tempoh 15 minit bagi keseluruhan proses (termasuk pemeriksaan imigresen serta perjalanan kereta api) dari saat anda memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar hingga ke Woodlands North (Singapura).

"Inilah sebabnya kami melihat RTS sebagai agen perubahan bagi rantau ini," katanya.

Sektor ekonomi yang mendapat manfaat daripada kesan limpahan RTS termasuk perhotelan, penjagaan kesihatan dan pendidikan tinggi.

Menurut Encik Zarif lagi, projek RTS Link - yang dijadualkan siap menjelang Disember 2026 - dijangka mampu menarik 35 peratus daripada 350,000 orang yang merentasi Tambak Johor setiap hari.

Beliau berkata rangkaian itu akan mempunyai kapasiti penumpang sebanyak 10,000 orang sejam, lantas membantu meringankan kesesakan trafik di lebuh raya.

MRT Corp juga menjalankan kajian mengenai sistem penyebaran lalu lintas yang menghubungkan RTS Link dengan Lebuh Raya Penyuraian Timur.

RTS Link adalah rangkaian rel sepanjang 4.0 kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar, Stesen Johor Bahru dan Woodlands. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan