Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Projek RTS JB-SG capai kemajuan hampir 33%

Anggaran Waktu Membaca:
Projek RTS JB-SG capai kemajuan hampir 33%

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 05 Apr 2023 10:16AM Dikemas Kini : 12 May 2023 03:01PM
JOHOR BAHRU: Tahap kemajuan kerja projek Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura kini mencapai 32.42 peratus, merangkumi pelbagai komponen seperti depoh, stesen, jajaran darat dan jajaran marin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerajaan negeri tersebut komited memastikan projek pengangkutan awam berimpak tinggi itu akan mula beroperasi pada 2026.

"Bagi melancarkan proses kemajuan projek ini, Johor telah menubuhkan satu pasukan pertugas pada 21 Oktober 2020 untuk membantu memudahkan apa sahaja perkara berkaitan kerajaan negeri sebagai contoh, isu tanah dan sebagainya dengan urus setianya adalah PLANMalaysia Johor.

"Kita menjangkakan infrastruktur projek ini siap pada Disember 2024, dan beroperasi mulai Disember 2026, setakat ini ia mengikut jadual dan segala perkembangan berhubung projek dipantau rapat oleh Kementerian Pengangkutan," katanya pada sidang media selepas melawat tapak Laluan RTS Johor Bahru-Singapura di Marine Viaduct pada Selasa (4 Apr).

Beliau berkata dengan adanya perkhidmatan tersebut ia bakal menyelesaikan sebahagian daripada cabaran pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura dengan jangkaan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam setiap hala.

Laluan RTS merupakan perkhidmatan ulang-alik sepanjang empat kilometer antara Singapura di stesen Woodlands North dan Malaysia di stesen Bukit Chagar.

Berhubung cadangan mewujudkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Johor Bahru, Encik Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan, bagaimanapun perkara itu memerlukan kajian lebih komprehensif memandangkan Johor sudah mempunyai mod pengangkutan awam lain.

Pada 28 Mac lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilapor berkata terdapat cadangan daripada sebuah syarikat swasta untuk membina LRT di bandar raya tersebut, namun perkara itu masih dalam peringkat cadangan.

Sementara itu, Encik Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri tersebut akan mengadakan mesyuarat koordinasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia dalam masa terdekat bagi membincangkan kelancaran pergerakan kenderaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri sempena sambutan Aidilfitri.

"Seperti biasa, setiap kali musim perayaan termasuklah ketika Pilihan Raya Umum, kita adakan mesyuarat sama ada perbanyakkan bas, lorong-lorong khas dibuka, jumlah kaunter yang dibuka selain jumlah pengawal keselamatan, jumlah RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan sebagainya untuk memudahkan urusan pengguna keluar masuk Malaysia," katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan