Skip to main content

Dunia

Projek RTS berjaya jalani ujian percubaan pelbagai tren berkelajuan tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Projek RTS berjaya jalani ujian percubaan pelbagai tren berkelajuan tinggi

(Gambar: RTSO/Facebook)

Diterbitkan : 27 Apr 2026 11:38PM
JOHOR BAHRU: Projek Laluan RTS Johor Bahru-Singapura mencapai kemajuan teknikal penting menyusuli kejayaan menjalani ujian percubaan pelbagai tren berkelajuan tinggi pada 24 April lalu yang merupakan satu langkah utama dalam fasa ujian kritikal dan pentauliahan.

Pengendali projek, RTS Operations Pte Ltd (RTSO) menerusi catatannya di laman Facebook memaklumkan ujian percubaan tersebut melibatkan pengendalian pelbagai tren secara serentak pada kelajuan tinggi untuk menguji infrastruktur teras dan sistem keselamatan di bawah protokol yang ketat.

"Kami berjaya mengendalikan pelbagai tren secara serentak pada kelajuan tinggi sambil menguji sistem utama seperti brek regeneratif.

“Ia merupakan sebahagian daripada ujian percubaan menyeluruh, dengan lebih banyak akan dijalankan pada masa depan ketika kami terus memperkukuh keselamatan dan prestasi sistem," kata RTSO.

Projek itu merupakan pembangunan penting bagi kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari merentasi Tambak Johor untuk bekerja.

Laluan RTS yang dijadual mula beroperasi pada Januari 2027, akan mempunyai kapasiti mengangkut sehingga 10,000 penumpang sejam ke setiap hala, menghubungkan Bukit Chagar di Johor dan Woodlands Utara di Singapura dalam masa kira-kira lima minit.

Perkembangan terbaharu ini menyusuli jaminan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 3 April lalu yang menyatakan bahawa krisis bekalan global tidak menjejas kemajuan atau kos projek tersebut termasuk pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan Stesen Bukit Chagar.

Encik Loke berkata kerja fizikal pembinaan stesen dan kompleks itu berada di peringkat akhir dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya awal tahun depan mengikut jadual.

Laluan RTS kini memasuki fasa yang sangat penting dan kritikal, iaitu pengujian dan pentauliahan, termasuk pemasangan sistem, pengujian penerimaan, integrasi dan pengujian dinamik, yang akan membawa kepada peringkat Kesediaan Lapangan Akhir (FFR) yang dijangka pada September ini.
Sumber : Bernama/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita