Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Projek HSR KL-SG mungkin diteruskan, Johor sedia bekerjasama

Anggaran Waktu Membaca:
Projek HSR KL-SG mungkin diteruskan, Johor sedia bekerjasama

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han (Gambar: BERNAMA)

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura berkemungkinan akan diteruskan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata kerajaan negeri akan memutuskan jenis kerjasama selepas Kementerian Pengangkutan (MOT) mula mengusahakan kebolehlaksanaan projek itu.

“Kami perlu lihat cadangan MOT terlebih dahulu dan kemudian kerajaan negeri akan memberi respons bagaimana kerajaan negeri boleh bekerjasama terutamanya melibatkan isu tanah, kebenaran merancang dan sebagainya.

“Kami berharap kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan Perpaduan baru ini dapat menimbang semula kebolehlaksanaan projek itu supaya ia boleh mewujudkan limpahan ekonomi di Johor,” katanya kepada pemberita pada Selasa (13 Dis). 

Ditanya sama ada penyambungan semula projek HSR akan menangani lebihan hartanah mewah yang tidak terjual di Johor, Encik Lee berkata HSR mungkin membantu sebahagiannya kerana projek HSR dijangka mewujudkan limpahan ekonomi dan menarik lebih ramai pekerja berkemahiran.

“Sebagai contoh, syarikat multinasional yang berpangkalan di Singapura mungkin memindahkan beberapa operasi ke Johor untuk penjimatan masa perjalanan.

“HSR akan mewujudkan gelembung ekonomi yang lancar antara Malaysia dan Singapura,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Encik Lee berkata beliau bersetuju dengan pandangan umum bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk menyemak semula dan menyambung semula projek HSR di bawah kerajaan baru.

“Tidak boleh membuang masa...pandemik telah menjejaskan trajektori pertumbuhan ekonomi negara, HSR mungkin membantu bukan sahaja menuju ke landasan yang betul tetapi mempercepatkan tindakan untuk merebut peluang terhadap ekonomi global yang berkembang pesat sekarang,” katanya.

Pada 22 Ogos 2022, bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyatakan hasrat untuk mempercepatkan penyambungan semula projek HSR dengan Singapura.

Ia menyusuli kenyataan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada 29 November 2021 yang terbuka kepada idea cadangan HSR yang baru.

Kedua-dua negara mula-mula menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek itu pada 13 Disember 2016 tetapi menamatkan projek itu pada 1 Januari tahun lepas selepas mengalami beberapa kelewatan.

Projek bernilai RM110 bilion (S$34 bilion) yang melibatkan pembangunan sepanjang 350 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada 90 minit sahaja.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan