Projek binaan CIQ Ba'kelalan terbengkalai sejak 2019 ditender semula
Projek pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Ba’kelalan yang terbengkalai sejak dua tahun lepas akan ditender semula untuk membolehkan apa yang dirancang dapat disiapkan.
(Gambar: BERNAMA)
BA’KELALAN: Projek pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Ba’kelalan yang terbengkalai sejak dua tahun lepas akan ditender semula untuk membolehkan apa yang dirancang dapat disiapkan.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pelan asal projek yang sepatutnya siap sepenuhnya pada April 2019 perlu juga disemak berikutan terdapat beberapa isu yang tidak diberi perhatian termasuk kelemahan susun atur binaan dan soal keselamatan cerun.
“Ini projek yang betul-betul sakit, tenat…Apa yang mengejutkan ialah tiada kemudahan kuarantin di CIQ, isu keselamatan cerun, soal kawasan letak kereta dan kenderaan panjang tidak akan dapat membelok dalam pelan awal jalan rayanya.
“Saya berharap, proses tender semula projek ini akan cepat diputuskan dan dapat diteruskan serta disiapkan projek ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak projek berkenaan sempena lawatan kerjanya ke Ba’kelalan baru-baru ini, yang turut disertai Timbalan Menteri Pengangkutan Henry Sum Agong.
Encik Awang Tengah berkata adalah penting pelan projek itu disemak semula bagi memastikan semua agensi penting berkaitan perkhidmatan di sempadan negara dapat ditempatkan di situ, sejajar fungsi projek tersebut.
“Pelan asal projek akan hanya menempatkan pejabat imigresen, Jabatan Kastam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan polis namun tiada kemudahan pusat kuarantin dan Jabatan Veterinar yang amat penting.
“Saya harap perkara ini dapat diambil kira. Ini perkhidmatan yang amat penting dan mahu projek ini dapat memudahkan urusan perjalanan keluar masuk sempadan Malaysia-Indonesia,” katanya.
Beliau berkata perkhidmatan dan prasarana lengkap CIQ Ba’kelalan adalah diperlukan berikutan ia merupakan pintu masuk sempadan negara selain sejajar perkembangan pembukaan ibu negara baru Indonesia di Kalimantan.
Berdasarkan pelan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan lebih RM14 juta (S$4.5 juta) itu, ia menempatkan sebuah blok pentadbiran dan kuarters dua tingkat yang sepatutnya siap pada Mei 2019.
Pada April 2019, projek itu diklasifikasikan sebagai projek sakit dengan kelewatan - 46.58 peratus yang seterusnya notis penamatan kerja kontraktor dikeluarkan pada Disember 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.