Skip to main content

Dunia

Program Zakir Naik di Melaka tetap terus: Exco

Pengerusi Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri Melaka, Encik Mohd Rafiq Naizamohideen tetap dengan keputusan untuk meneruskan program bersama pendakwah kontroversi, Zakir Naik.

Anggaran Waktu Membaca:
Program Zakir Naik di Melaka tetap terus: Exco

Dr Zakir Naik. (Gambar: Malay Mail Online)

Diterbitkan : 03 Sep 2019 09:18AM Dikemas Kini : 03 Sep 2019 09:26AM

MELAKA: Pengerusi Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri Melaka, Encik Mohd Rafiq Naizamohideen tetap dengan keputusan untuk meneruskan program bersama pendakwah kontroversi, Zakir Naik.

“Walaupun mendapat tekanan hebat daripada mana-mana pihak, saya tetap bertekad untuk meneruskan program ini dan keputusan meneruskan program ini adalah muktamad.

“Dr. Zakir Naik sudah pun mengesahkan kehadiran beliau ke Masjid Cina Sabtu ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Encik Rafiq, pengerusi Masjid Cina Krubong, tempat majlis bersama pendakwah tersebut bakal berlangsung berkata penganjuran program itu tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah aktiviti keagamaan, lapor Malaysiakini.

“Penganjuran program ini sepatutnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana program ini adalah program ibadah keagamaan dan bukan program politik.

“Program ini juga bukan dianjurkan oleh kerajaan mahu pun parti politik sebaliknya dianjur oleh Masjid Cina Melaka,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa polis Melaka tidak mempunyai halangan terhadap program bersama pendakwah kontroversi, Zakir Naik pada 7 September nanti Ketua Polis Negeri, Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ini kerana program tersebut hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah oleh pendakwah dari India itu.

Sementara itu, Encik Rafiq yang turut merupakan ahli majlis tertinggi Bersatu menjelaskan jemputan pendakwah tersebut bukan untuk memberi ceramah malah hanya untuk program beribadah, menurut Malaysiakini.

“Polis dan kerajaan Melaka hanya melarang Dr. Zakir Naik berceramah dan bukannya melarang beliau hadir program ibadah seperti solat fardhu berjemaah dan ibadah sunat yang lain.

“Saya juga telah memaklum kepada Ketua Menteri Melaka tentang hasrat saya menjemput Dr Zakir Naik Ke Melaka dan beliau tiada halangan terhadap kedatangannya ke Melaka asalkan tidak melibatkan ceramah seperti saranan pihak Polis,” katanya.

Terdahulu poster program yang dinamakan "Malam Islam Bersatu" tersebar di media sosial dan menjadi persoalan menyusuli kontroversi melibatkan Encik Zakir Naik sebelum ini.

"Moga majlis ini berjalan lancar, dipermudahkan, diberkati dan dilindungi Allah SWT. Amin," kata Encik Mohd Rafiq menerusi Facebook.

Pada 19 Ogos lalu dilaporkan Ketua Menteri Melaka, Encik Adly Zahari mengumumkan bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan Encik Zakir berceramah di negeri itu.

Penganjuran program itu turut dipertikai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Keroh, Encik Kerk Chee Yee yang menggesa semua pihak di Melaka mengikuti semangat daripada keputusan ketua menteri untuk mengharamkan ceramah oleh Encik Zakir.

Encik Kerk yang juga ahli jawatankuasa eksekutif komunikasi, multimedia, NGO, pembangunan belia dan sukan berkata walaupun Encik Zakir tidak berceramah pada majlis itu, beliau merupakan individu yang menimbulkan kontroversi antara masyarakat Malaysia.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita