Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Program visa baru 'umpan' M'sia & Thailand untuk pikat pelancong, tarik pelaburan asing

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR, BANGKOK: Malaysia dan Thailand sedang mempergiatkan usaha memikat warga asing untuk menetap dan melabur di kedua-dua negara itu, sekali gus merancakkan ekonomi masing-masing.

Kedua-dua negara dari Asia Tenggara itu melancarkan inisiatif serupa pada awal bulan ini.

Malaysia melancarkan program visa premium yang baru atau PVIP manakala Thailand pula memperkenalkan visa pemastautin jangka panjang bukan saja bagi memikat bakat berkemahiran tinggi atau pekerja hijrahan tetapi juga untuk pesara mewah dan 'warga global'.

Walaupun usaha Malaysia diumumkan di tengah-tengah ramalan ekonomi yang kukuh, ekonomi Thailand bagaimanapun masih merudum dengan pertumbuhannya masih perlahan, di luar jangkaan kerajaan negara itu.

Inflasi yang mencecah paras rekod dan nilai mata wang yang melemah menjadikan ekonomi Thailand yang paling hambar di Asia Tenggara tahun ini.

Menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri Malaysia Hamzah Zainuddin, kementeriannya yakin PVIP berupaya menarik lebih banyak pelaburan asing untuk mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan.

Program tersebut dibuka kepada para individu dengan pendapatan tahunan menjangkaui AS$100,000 (S$144,802). Mereka juga mesti mempunyai sekurang-kurangnya AS$218,000 (S$315,669) dalam akaun bank mereka dan dikehendaki membayar yuran sekali saja kira-kira AS$44,000 (S$63,713) serta AS$22,000 (S$31,856) bagi setiap tanggungan.

VISA BARU THAILAND

Sementara itu, di bawah visa baru Thailand, para pemohon mestilah mempunyai antara AS$80,000 (S$115,842) dalam bentuk pendapatan tahunan atau hampir separuh jika mereka memegang ijazah Sarjana yang berkaitan dengan kerjaya mereka, atau bagi sesetengah kes, pelaburan sedia ada sehingga AS$500,000 (S$724,012).


Sebagai ganti, visa pemastautin jangka panjang selama 10 tahun akan ditawarkan, termasuk permit kerja dan cukai pendapatan peribadi sebanyak 17 peratus - hampir separuh daripada orang lain dalam kumpulan pendapatan yang serupa akan membayar.

Dengan skim visa pemastautin jangka panjang, kerajaan Thailand ingin memastikan warga asing yang mewah akan mengunjungi Thailand dan menjadikan negara itu sebagai kediaman kedua mereka.
 
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan