Skip to main content

Dunia

Program suai kenal Kuching cuba pikat ejen pelancongan S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Program suai kenal Kuching cuba pikat ejen pelancongan S'pura

(Gambar: Jeremy Bezanger/Unsplash)

KUCHING: Selepas tiga tahun, penggiat industri pelancongan di Sarawak sudah bersedia menerima kunjungan peserta lawatan suai kenal ejen pelancongan, yang pertama kali diadakan sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia.

Tujuh ejen pelancongan yang berpangkalan di Singapura dipilih oleh Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak, Singapura (STATOS) dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berdasarkan komitmen ejen-ejen tersebut untuk mempromosikan secara aktif pakej percutian Sarawak di Singapura.

“Kumpulan itu diketuai dua pegawai daripada pasukan STATOS termasuk wakil daripada Broadway Travel, Muhibbah Travel, QQ Travel, EU Holidays, Going Places, Neway Travel dan Singatour,” menurut STATOS dalam kenyataan hari ini (28 Sep).

Program empat hari itu akan bermula esok (29 Sep) hingga Ahad dan disusun untuk menyerlahkan pengalaman yang menarik secara langsung bagi pasaran Singapura - seperti yang dikenal pasti dalam kajian penyelidikan pasaran pelancongan Singapura yang diterbitkan baru-baru ini.

“Memandangkan makanan menjadi satu daripada jualan utama di Singapura, program berkenaan turut merangkumi jejak makan yang lazat yang menawarkan pengalaman menjamu selera yang berbeza dengan peserta akan merasai juadah tempatan seperti Laksa Sarawak, Mi Kolo dan Ais Kacang,” menurut kenyataan itu lagi.

Sepanjang berada di Kuching, para peserta akan melawat beberapa tarikan termasuk Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh, Muzium Budaya Borneo yang baru dibuka, Pasar Malam Siniawan, dan Kampung Budaya Sarawak yang sentiasa popular.

Sebagai sebahagian daripada program tersebut, STB akan menganjurkan sesi rangkaian perniagaan ke perniagaan (B2B) bersama ejen pelancongan Brunei, Sarawak dan Indonesia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Program berkenaan akan membolehkan ejen tempatan berganding dengan bakal rakan kongsi Singapura untuk mewujudkan perjanjian pemasaran bersama dan bekerjasama dalam meningkatkan bilangan pengunjung.

Buat masa ini, pemerintah Singapura tidak membenarkan ejen yang berpangkalan di luar negara untuk terus mempromosikan pakej pelancongan mereka kepada rakyat negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif STATOS Chew Chang Guan berkata sejak pembukaan semula sempadan pada April lalu, rakyat Singapura adalah antara tiga pelawat tertinggi berkunjung ke Sarawak dengan 12,984 orang direkodkan antara Mac dan Ogos tahun ini.

“Ini masa yang tepat untuk kami membawa ejen pelancongan Singapura ke Sarawak untuk melawat dan mengamati semula semua yang ditawarkan Kuching. Memandangkan banyak produk pelancongan baru yang menarik untuk ditonjolkan, program ini sudah tentunya akan memberikan pelbagai idea baru kepada ejen pelancongan untuk meningkatkan dan memberi nilai tambah pakej pelancongan mereka,” katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita