Program pemulihan semula tawar kebebasan kepada tahanan penjara Maghribi
Saleh sudah meringkuk di penjara Maghribi selama 19 tahun atas tuduhan pengganasan. Namun dia berharap boleh dibebaskan tidak lama lagi menyusuli pengenalan satu program deradikalisasi atau pemulihan semula.
(Gambar: AFP)
RABAT: Saleh sudah meringkuk di penjara Maghribi selama 19 tahun atas tuduhan pengganasan. Namun dia berharap boleh dibebaskan tidak lama lagi menyusuli pengenalan satu program deradikalisasi atau pemulihan semula.
Bekas penyokong tegar Islamis itu, yang kini sudah menjangkau usia 50an tahun, berkata bahawa dia dahulu berpegang kepada kepercayaan yang menyokong keganasan.
"Saya percaya orang Muslim bertanggungjawab untuk melawan para pemimpin bersifat menindas yang tidak mengamalkan undang-undang Islam dan menyerang negeri-negeri yang memerangi orang Muslim," katanya kepada AFP di perpustakaan penjara Kenitra, dekat Rabat.
Namun kepercayaan tersebut adalah berdasarkan bacaan Al Quran secara harfiah dan sabda Nabi "yang mana saya tiada kelayakan untuk fahami (dengan betul)", katanya.
Kini, setelah melalui program Perdamaian di Maghribi, dia berharap dapat dibebaskan.
Program tersebut dilancarkan pada 2017 dan dipimpin oleh perkhidmatan penjara Maghribi dengan beberapa rakan pertubuhan, yang bertujuan untuk membantu para banduan pengganasan, yang bersetuju untuk mempersoal kepercayaan mereka.
Menurut Saleh, perjalanannya ke arah Islam radikal bermula setelah dia berpindah ke Itali pada tahun 1990an, di mana dia bertemu dengan seorang imam di masjid Turin yang dimiliki oleh Jamaa Islamiya, kumpulan jihad Mesir yang membunuh Presiden Anwar Sadat pada 1981.
Pada 2001, dia meninggalkan apa yang dia sifatkan sebagai "negara kafir" dan berpindah bersama keluarganya ke Afghanistan di bawah pentadbiran Taliban.
Namun, serangan 11 September di Amerika Syarikat memaksanya untuk menukar rancangannya.
Dengan AS mengugut untuk menakluki dan menewaskan Taliban, dia melarikan diri ke Maghribi dan ditangkap serta-merta.
Menurutya, dia tidak pernah membunuh sesiapa pun namun dia berada dalam tahanan sejak itu.
PENDEKATAN BARU
Maghribi berdepan banyak pengalaman perit semasa berdepan dengan perjuangan jihad di negara itu dan di luar negara.
Pada 2003, satu serangan bom nekad membunuh 33 orang dan menyebabkan puluhan lagi cedera di ibu negeri ekonomi Casablanca.
15 tahun kemudian, dua pelancong Scandivania dibunuh oleh anggota militan berkaitan ISIS semasa satu pendakian di pergunungan High Atlas.
Khidmat keselamatan sudah pun memusnahkan lebih 2,000 sel ekstremis dan membuat lebih 3,500 tangkapan berkaitan pengganasan sejak 2002, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Februari.
Kebanyakan kumpulan pengganas yang ditumpaskan sepanjang beberapa tahun lalu mempunyai kaitan dengan ISIS, yang menakluki satu wilayah di Syria dan Iraq dan mendakwa mentadbir tempat itu pada 2014.
Lebih 1,500 pejuang Maghribi juga diketahui melakukan perjalanan ke kawasan itu sepanjang sedekad lalu, menurut satu sumber keselamatan.
Namun pada 2015, pihak berkuasa Maghribi melancarkan program 'Moussalaha' atau perdamaian sebagai sebahagian daripada "pendekatan baru" bagi para tahanan, kata pegawai DGAPR Moulay Idriss Agoulmam.
Program itu "termasuk memantau para para banduan dan membantu mereka yang memerlukan bimbingan", katanya.
Ini termasuk mempelajari tentang undang-undang dan ekonomi serta pendampingan psikologi selama tiga bulan.
Sejauh ini, ia mendampingi 207 banduan termasuk lapan wanita. Seramai 116 diberi pengampunan diraja dan dibebaskan manakala tempoh penjara bagi lagi 15 banduan dikurangkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.