Skip to main content

Dunia

Program Makanan Sedunia gesa lebih banyak usaha tangani wabak Ebola

Anggaran Waktu Membaca:
Program Makanan Sedunia gesa lebih banyak usaha tangani wabak Ebola

Penunggang teksi motosikal dan penumpang mereka menunggu di pintu masuk pasar pusat ketika petugas pembersihan menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman di kawasan tersebut, ketika wilayah Ituri terus berusaha membendung wabak Ebola di Bunia, Congo, pada Sabtu, 23 Mei 2026. (Gambar: AP/Moses Sawasawa)

Diterbitkan : 04 Jun 2026 11:13PM
BUNIA: Wabak Ebola yang sedang melanda Republik Demokratik Congo (DRC) kini menular lebih pantas daripada kemampuan pasukan kemanusiaan untuk membendungnya, menurut amaran Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun petugas kesihatan barisan hadapan dan agensi bantuan bekerja tanpa henti sejak wabak itu diisytiharkan secara rasmi pada 15 Mei, skala dan kerumitan krisis tersebut memerlukan respons yang lebih besar, kata Pengarah WFP di DRC, David Stevenson.

Menurut Encik Stevenson, penghantaran bantuan di timur DRC terus berdepan pelbagai cabaran.

“Wilayah itu menghadapi masalah besar dari segi ketidakjaminan makanan, konflik, perpindahan penduduk dan cabaran tadbir urus, yang menjadikan akses amat sukar,” katanya kepada Mediacorp.

“Terdapat pelbagai kumpulan bersenjata dan kumpulan lain yang beroperasi di timur DRC ... Peranan kami dalam diplomasi kemanusiaan untuk membuka laluan akses sentiasa dicabar. Kini ia menjadi lebih sukar dengan kemunculan kawasan baharu yang terjejas oleh Ebola, yang sama sukar atau lebih sukar untuk diakses.”

Beliau berkata demikian kepada Mediacorp pada Rabu (3 Jun) selepas melawat bandar Bunia bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Bunia ialah ibu negeri wilayah Ituri di timur laut DRC, yang menjadi pusat penularan demam berdarah Ebola yang sangat mudah berjangkit.

Setakat ini, sebanyak 321 kes sudah disahkan di negara itu, termasuk 48 kematian, manakala sembilan kes yang disahkan turut dicatat di negara jiran Uganda, termasuk satu kematian.

Walaupun wabak Ebola tertumpu di Afrika, pengisytiharannya sebagai darurat kesihatan awam telah mendorong langkah berjaga-jaga di seluruh dunia, termasuk di Asia.

Wabak kali ini melibatkan jenis Bundibugyo yang jarang ditemui, yang sehingga kini belum mempunyai vaksin atau ubat yang diluluskan.

“KITA PERLU LAKUKAN LEBIH LAGI”

WFP mengerahkan pesawat, helikopter dan sokongan logistik untuk menghantar bekalan perubatan serta peralatan perlindungan ke kawasan yang terjejas.

Walaupun respons antarabangsa kini sedang dijalankan, Encik Stevenson menegaskan keperluan mendesak untuk memperluaskan operasi kerana wabak itu menular lebih pantas daripada usaha tindak balas.

“Kami telah berhempas-pulas selama lebih dua minggu sejak Ebola diisytiharkan secara rasmi, dan amat mengagumkan melihat petugas pertama di klinik dan pusat rawatan melakukan segala yang termampu untuk mengekang wabak ini,” katanya.

Walaupun keadaan keselamatan membenarkan akses, infrastruktur yang lemah seperti jalan raya yang tidak berfungsi menjadi satu lagi hambatan utama, tambah beliau.

Bagi mengatasi cabaran itu, WFP memperluaskan operasi helikopter melalui Perkhidmatan Udara Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHAS) yang diuruskannya.

Perkhidmatan itu digunakan untuk mengangkut petugas, bekalan dan peralatan ke kawasan yang sukar diakses, selain membantu penyelarasan serantau dengan negara jiran seperti Uganda, Rwanda dan Kenya.

BANTUAN MAKANAN PENTING DALAM RESPONS

Walaupun petugas kesihatan berada di barisan hadapan usaha membendung virus itu, Encik Stevenson berkata menangani masalah kelaparan dan ketidakjaminan makanan juga sama penting bagi memastikan masyarakat menyokong dan terlibat dalam usaha tindak balas.

Timur Congo sudah lama berdepan krisis kemanusiaan yang kompleks akibat konflik, perpindahan penduduk dan kekurangan makanan yang kronik.

Menurut Encik Stevenson, untuk mengatasi ketidakpercayaan mendalam dan kerentanan masyarakat yang berpunca daripada ketidakstabilan berdekad-dekad lamanya, agensi kemanusiaan perlu menangani bukan sahaja kecemasan kesihatan semasa tetapi juga faktor-faktor yang menjadikan masyarakat lebih terdedah kepada kesan wabak itu.

“Kita perlu melihat punca-punca asas ini dan membangunkan sistem masyarakat yang memenuhi keperluan serta kehendak penduduk supaya mereka menjadi sebahagian daripada respons Ebola dan memiliki rasa tanggungjawab terhadapnya,” katanya.

Program bantuan makanan WFP memberi tumpuan kepada masyarakat paling rentan, yang kebanyakannya sudah mengalami kelaparan serius sebelum kemunculan Ebola, kata Encik Stevenson.

Beliau berkata kira-kira 1.7 juta orang di wilayah-wilayah yang terjejas di DRC kini diklasifikasikan di bawah Fasa 4 IPC, iaitu tahap kecemasan ketidakjaminan makanan.

“Keadaan ini bukan disebabkan Ebola, tetapi disebabkan situasi yang wujud sebelum Ebola,” tambahnya.

Di bawah Klasifikasi Bersepadu Fasa Keselamatan Makanan (IPC), keluarga dalam Fasa 4 mengalami jurang penggunaan makanan yang besar, kadar kekurangan zat makanan akut yang sangat tinggi serta peningkatan kadar kematian. Ia merupakan tahap sebelum fasa paling kritikal, iaitu Fasa 5 atau kebuluran.

Sebelum wabak itu berlaku, operasi WFP di timur DRC sudah pun menyasarkan 1.7 juta orang daripada kira-kira 8 juta penduduk yang memerlukan bantuan makanan di rantau tersebut.

Di seluruh negara pula, jumlah mereka yang memerlukan bantuan dianggarkan mencecah 25 juta orang.

Encik Stevenson berkata pertubuhan itu kini menyusun semula programnya untuk memberi lebih tumpuan kepada masyarakat yang terjejas oleh Ebola dengan menyesuaikan pengagihan makanan dan program bantuan secepat mungkin.

“Kami mengutamakan masyarakat yang paling terkesan oleh dua krisis serentak ini - Ebola serta kelaparan dan ketidakjaminan makanan yang telah lama wujud,” katanya.

Menurut beliau, matlamatnya bukan sahaja untuk membantu keluarga yang terjejas, tetapi juga menggalakkan penyertaan masyarakat dalam langkah-langkah kawalan penyakit dengan memastikan keperluan asas mereka dipenuhi.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita