Program makanan berkhasiat percuma Indonesia dihambat isu keselamatan makanan, masalah logistik
Program makanan berkhasiat percuma Indonesia dihambat beberapa cabaran sejak ia dilancarkan tiga bulan lalu.

Anggota jawatankuasa sekolah agih makanan kepada para pelajar. (Gambar: AP/Dita Alangkara)
Projek seluruh negara itu, yang merupakan sebahagian daripada ikrar Presiden Prabowo Subianto dalam kempen pilihan rayanya, bertujuan untuk meningkatkan mutu sumber manusia negara itu dalam jangka panjang dengan meningkatkan kandungan khasiat dalam makanan kanak-kanak serta memupuk hasil pendidikan yang lebih baik.
Namun keprihatinan tentang keselamatan makanan, kekangan belanjawan dan cabaran logistik telah mengancam kemajuan program itu.
"Indonesia pada 2045, suka atau tidak, mesti menjadi sebuah negara maju," kata Dedek Prayudi, jurucakap di Kantor Komunikasi Kepresidenan.
"Jika Indonesia tidak menjadi sebuah negara maju, Indonesia akan terjerat dalam perangkap pendapatan sederhana. Kita mesti mempunyai sumber manusia yang berdaya tahan," katanya kepada Mediacorp.
DILANCARKAN TERLALU PANTAS?
Walaupun ia mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat, namun keprihatinan mula timbul berhubung capaian sasaran dan sasaran, antara isu-isu yang diketengahkan.
"Ia sukar dari segi logistik untuk menyediakan makanan berkhasiat dengan serta-merta kepada semua orang," dedah Encik Prabowo pada 20 Jan, sekitar dua minggu selepas program itu dilancarkan.
"Atas sebab itu, saya... memohon maaf kepada semua ibu bapa dan kanak-kanak yang masih belum menerimanya. Namun, saya yakin menjelang akhir tahun ini, semua kanak-kanak rakyat Indonesia akan menerima makanan berkhasiat."
Kes keracunan makanan juga mencemari pelancaran program itu.
Pakar pemakanan Indonesia Tan Shot Yen berkata beliau berpendapat bahawa inisiatif makanan percuma itu dilancarkan terlalu pantas.
"Kesedaran mengenai program ini masih rendah di peringkat akar umbi," katanya.
"Jika kami katakan bahawa ia makanan bermutu, ia makanan seimbang, mereka perlu menghabiskannya. Tetapi jika mereka belum bersedia untuk menerimanya, tentu sekali akan berlaku pembaziran makanan."
MEMPERLUASKAN PROGRAM MAKANAN PERCUMA
Program itu pada asalnya menyasarkan untuk menyediakan hidangan berkhasiat kepada hampir 83 juta penduduk Indonesia menjelang tahun 2029.
Bagi menyokong inisiatif itu, pemerintah Indonesia pada asalnya memperuntukkan dana sebanyak AS$4.5 bilion (S$6 bilion) pada tahun ini.
Dengan Encik Prabowo menimbangkan untuk mencapai sasaran itu menjelang hujung tahun ini, ia perlu menyuntik lagi AS$6 bilion (S$8 bilion) menerusi langkah pemotongan belanjawan bagi mempercepatkan perkembangan program itu.
Tekanan semakin meningkat untuk pihak berkuasa memperbetulkan pelaksanaan program tersebut.
Kepala Badan Gizi Nasional, Dadan Hindayana berkata matlamat itu termasuk memenuhi keperluan kalori dan komposisi pemakanan, serta memastikan kebersihan dan keselamatan makanan.
"Program ini sangat berguna," kata Yulius Dwi Kristanto, pengetua Sekolah Rendah Awam Slipi 15 di Jakarta Barat.
"Ia sangat berguna, terutama sekali bagi kanak-kanak dari keluarga berpendapatan sederhana hingga rendah."
Di sekolahnya, 380 murid adalah sebahagian daripada pelancaran awal program itu yang akan menerima makanan berkhasiat percuma terdiri daripada nasi, kacang panjang, tauhu, ayam dan buah-buahan.
MENILAI HASIL PROGRAM
Para pengamat optimis program makanan percuma itu dapat mengatasi masalah tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak.
Walaupun masalah kesihatan itu merupakan salah satu keprihatinan di Indonesia, negara itu telah menyaksikan penurunan pada jumlah kes iaitu daripada 30.8 peratus pada 2018 kepada 21.5 peratus pada 2023.
Sasaran untuk tahun ini adalah untuk mengurangkan jumlah itu kepada 18.8 peratus.
Menteri Kependudukan dan Pembangunan Keluarga Wihaji berkata inisiatif itu akan dipantau dan dinilai "untuk meninjau kesan daripada pemakanan berkhasiat terhadap ketinggian dan berat badan kanak-kanak".
Program makanan berkhasiat percuma ini dijalankan di 38 wilayah merata Indonesia dengan jumlah unit perkhidmatan dapur yang terus berkembang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.