Skip to main content

Dunia

Program Makan Bergizi Indonesia hadapi tentangan susuli kes keracunan makanan

Program Makan Bergizi Gratis Indonesia kini menjadi perhatian ramai selepas hampir 6,000 kes keracunan makanan dilaporkan sejak ia dilancarkan pada Januari.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Oct 2025 05:36PM Dikemas Kini : 13 Oct 2025 03:56PM
  • Program Makan Bergizi Gratis Indonesia kini menjadi perhatian ramai selepas hampir 6,000 kes keracunan makanan dilaporkan sejak ia dilancarkan pada Januari.
  • Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berikrar untuk melakukan penambahbaikan terhadap inisiatif utamanya itu yang bernilai berbilion dolar.
  • Jumlah kes keracunan makanan yang tinggi turut membebankan sistem kesihatan tempatan.
  • Walaupun terdapat desakan agar program itu digantung, Encik Prabowo menegaskan inisiatif berkenaan akan diteruskan dan kelemahan yang ada akan diperbaiki.
Dijana oleh AI
BANDUNG: Program Makan Bergizi Gratis Indonesia kini menjadi perhatian ramai selepas hampir 6,000 kes keracunan makanan dilaporkan sejak ia dilancarkan pada Januari.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berikrar untuk melakukan penambahbaikan terhadap inisiatif utamanya itu yang bernilai berbilion dolar. Program tersebut menyasarkan 82.9 juta penerima apabila ia dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Selain kebimbangan mengenai keselamatan makanan, kekangan belanjawan dan cabaran logistik turut mengancam pelaksanaan pelan tersebut.

Sebagai salah satu daripada janji utama kempen Encik Prabowo, program itu bertujuan meningkatkan mutu sumber manusia negara dalam jangka panjang dengan menambah baik pemakanan golongan kanak-kanak.

Setakat ini, projek berskala nasional itu sudah memanfaatkan hampir 30 juta penerima.

IBU BAPA GUSAR

Program berkenaan yang pada awalnya disambut begitu baik kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga.

Di daerah Bandung Barat, lebih 1,000 pelajar jatuh sakit akibat beberapa siri keracunan makanan minggu lalu.

Sesetengah keluarga berkongsi mereka tidak lagi berasa selamat untuk membiarkan anak-anak mereka makan di sekolah.

“Kami gembira menerima makanan bernutrisi percuma daripada pemerintah,” kata Neng Muna, ibu kepada salah seorang mangsa keracunan makanan.

“Anak-anak saya juga gembira, tetapi kemudian perkara ini berlaku dan saya terkejut. Saya tidak akan membenarkan anak-anak saya makan makanan percuma di sekolah jika program ini diteruskan.”

Sebaliknya, beliau akan menyediakan bekalan makanan untuk dibawa dua orang anaknya ke sekolah.

Seorang lagi pelajar di Bandung Barat, Via yang berusia 14 tahun, mengalami muntah-muntah, loya, pening dan sakit perut selepas makan tengah hari di sekolah. Simptom itu berlarutan selama beberapa hari.

Neneknya, Euis Nurhayati, berkata skim tersebut pada awalnya membantu meringankan beban kewangan keluarga.

“Tetapi jika ini yang berlaku, kami takut … mereka tidak seharusnya meneruskan program ini,” tambah beliau.

Jumlah kes keracunan makanan yang tinggi turut membebankan sistem kesihatan tempatan.

Para pesakit dirawat secara bergilir-gilir di pos rawatan sementara dan klinik. Mereka yang mengalami simptom yang serius dihantar ke hospital, di mana pengusung memenuhi koridor hospital untuk menampung kemasukan pesakit.

Pemandu ambulans memberitahu Mediacorp bahawa mereka keletihan selepas bekerja selama berjam-jam dan berulang-alik membawa mangsa.

LANGKAH KESELAMATAN DIPERKUKUH

Pengamal perubatan mengatakan bahawa inisiatif makanan percuma itu perlu dikaji semula.

“Mudah-mudahan, program tersebut dihentikan buat sementara waktu,” kata Neng Siti Djulaeha, pengarah Hospital Umum Ciliin.

“Sepatutnya ada pakar yang terlibat dalam penghasilan dan penyediaan makanan.”

Sekurang-kurangnya dua dapur di kawasan Bandung Barat ditutup buat sementara waktu berikutan kes keracunan makanan. Tidak lama kemudian, jumlahnya meningkat kepada lebih 50 dapur di seluruh negara.

Penutupan itu diikuti siasatan ke atas pensijilan dan piawaian keselamatan makanan.

Ujian ke atas sampel makanan mengesan bahan pencemar berbahaya, termasuk E. coli, Salmonella dan bakteria lain.

Dalam satu kejadian yang membimbangkan di Batam, para pelajar menemui serpihan kaca dalam nasi mereka.

Berikutan tekanan dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keselamatan makanan, pegawai dari Badan Gizi Nasional memohon maaf, di samping mengakui berlakunya kecuaian serta kelemahan dari segi pengawasan.

Pihak berkuasa tempatan turut menyatakan bahawa mereka akan meningkatkan pemantauan ke atas dapur-dapur yang terlibat dalam penyediaan dan pengagihan makanan.

Walaupun terdapat desakan agar program itu digantung, Encik Prabowo menegaskan inisiatif berkenaan akan diteruskan dan kelemahan yang ada akan diperbaiki.

“Semua dapur mesti dilengkapi dengan peralatan mencuci berkuasa tinggi yang menggunakan ultraviolet, gas atau air yang sangat panas,” kata beliau.

“Mesti ada penapis air, dan kit ujian makanan mesti disediakan sebelum makanan dihantar. Kami akan membetulkannya dengan serta-merta. Semua dapur juga mesti mempunyai tukang masak yang terlatih.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita