Program khas haji tajaan 1MDB dihentikan
Kuota 1,200 jemaah yang sudah menerima surat tawaran untuk mengerjakan haji daripada Yayasan 1MDB, terbatal serta-merta
Logo 1MDB. (Gambar fail: AFP/Manan Vatsyayana)
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Dr Mujahid Yusof Rawa berkata program khas haji tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan diteruskan mulai tahun ini.
Beliau berkata ini memandangkan sumber dana yayasan itu mempunyai kaitan dengan 1MDB yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.
"Sejak 2011 hingga tahun lepas, seramai 5,711 jemaah haji telah ditaja dengan kos hampir RM57 juta (S$19.15 juta)," katanya ketika menjawab soalan Anggota Parlimen Ahmad Maslan (BN - Pontian) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini (30 Jul).
Menjawab soalan tambahan Encik Ahmad yang memohon pertimbangan kerajaan membenarkan 1,200 jemaah yang sudah menerima surat tawaran untuk mengerjakan haji pada tahun ini menggunakan dana mereka sendiri, Encik Mujahid berkata keutamaan pemberian kuota adalah untuk mereka yang pertama kali mengerjakan haji.
"Saya ingin jelaskan bahawa kuota mereka ini datang daripada Yayasan 1MDB, jadi kerajaan baru tidak akan mengambil kuota ini daripada Tabung Haji walaupun penerima tawaran sanggup membayar sendiri untuk mengerjakan haji," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.