Program keselamatan 'Quiet Skies' di lapangan terbang AS pantau penumpang
Marsyal udara yang ditugaskan untuk menjalankan pengawasan menolak pelaksanaan program itu, menurut media Amerika Syarikat.

(Gambar: AFP/Saul Loeb)
AMERIKA SYARIKAT: Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) Amerika Syarikat menghadapi kritikan kerana memantau penumpang warga Amerika di dalam penerbangan tanpa pengetahuan mereka, lapor media Amerika Syarikat.
Menurut BBC, program 'Quiet Skies' dilaporkan menggunakan algoritma yang tidak diketahui untuk mengenal pasti para penumpang tanpa sebarang rekod jenayah, bagi pemantauan dalam penerbangan domestik.
Marsyal udara yang ditugaskan untuk menjalankan pengawasan menolak pelaksanaan program itu, menurut media Amerika Syarikat.
TSA menafikan ia menyasarkan individu berdasarkan kaum untuk mencegah jenayah dan sebaliknya menyatakan ia satu kaedah "praktikal".
"Dengan semakan secara tetap dan pengurusan aktif menerusi pejabat undang-undang, privasi serta hak-hak dan kebebasan awam, program itu adalah kaedah praktikal untuk mencegah insiden pengganasan di dalam pesawat," menurut agensi tersebut kepada BBC dalam satu kenyataan.
Apakah program itu?
Di bawah 'Quiet Skies', marsyal udara akan mengekori para penumpang semasa dalam penerbangan dan melaporkan sebarang tingkah laku yang mencurigakan kepada TSA, lapor Boston Globe buat pertama kali pada Ahad (29 Jul).
Para penumpang ini - antaranya warga Amerika, bukan sebahagian daripada pangkalan data pemeriksaan pengganas mahupun disyaki melakukan sebarang kesalahan, menurut akhbar itu.
Para penumpang tidak akan dimaklumkan apabila mereka disenaraikan dalam "Quiet Skies", yang dilaporkan oleh media Amerika Syarikat menyenaraikan kurang daripada 50 individu.
Menurut BBC, program itu merupakan operasi TSA yang belum didedahkan sebelum ini, tetapi sudah wujud sejak 2010.
Apa yang dicari oleh para pegawai?
Program tersebut menggunakan algoritma untuk menganalisa corak perjalanan penumpang dan sebarang kaitan yang mungkin wujud, menurut media Amerika Syarikat.
Para pegawai kemudian akan memeriksa data dan menentukan sama ada penumpang itu harus dipantau oleh marsyal udara.
"Tujuan program ini adalah untuk memastikan keselamatan para penumpang dan anak kapal semasa penerbangan," menurut TSA dalam satu kenyataan kepada BBC.
"Program tersebut tidak mengambil kira kaum dan agama, dan ia tidak bertujuan untuk memantau warga biasa Amerika."
Menurut dokumen dalaman TSA yang diterbitkan oleh Boston Globe, marsyal udara memantau para penumpang berdasarkan beberapa tingkah laku termasuk:
Kegelisahan berlebihan
Berpeluh berlebihan
Renungan tajam
Renungan jauh
Sering menyentuh muka
Berapa lama mereka tidur semasa penerbangan
Menggunakan telefon bijak
Seorang jurucakap agensi itu mengatakan bahawa sekiranya tingkah laku penumpang tersebut tidak mencurigakan dan penerbangan itu berjalan lancar, mereka tidak akan dihampiri atau diberkas.
TSA menegaskan bahawa pihaknya tidak mengambil kira kaum atau agama, lapor BBC lagi.
Bagaimanapun, ciri untuk memilih penumpang 'Quiet Skies' tidak begitu jelas dalam dokumen dalaman, menurut laporan Globe.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.