Produk tradisional Tie Da Zhi Tong Gao kandungi racun
Kementerian Kesihatan Malaysia menggesa orang ramai supaya tidak membeli produk tradisional Tie Da Zhi Tong Gao yang dikesan mengandungi racun Diphenhydramine.
Produk tradisional Tie Da Zhi Tong Gao.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia menggesa orang ramai supaya tidak membeli produk tradisional Tie Da Zhi Tong Gao yang dikesan mengandungi racun Diphenhydramine.
Dalam satu kenyataan pada Selasa (4 Sep), Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penjual dan pengedar produk ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan serta pengedaran produk tersebut dengan serta-merta.
“Para penjual diingati bahawa penjualan dan pengedaran produk ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," kata Dr Noor Hisham.
Orang ramai yang sedang menggunakan produk Tie Da Zhi Tong Gao dinasihati supaya segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.
Difahamkan bahawa produk Tie Da Zhi Tong Gao didaftarkan sebagai produk tradisional untuk kesakitan akibat lebam dan terseliuh serta sakit otot dan sakit sendi.
Diphenhydramine merupakan sejenis antihistamin untuk melegakan reaksi alahan yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh diperoleh daripada doktor atau ahli farmasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.