Skip to main content

Dunia

Probowo usul tubuh kelab mantan presiden Indonesia

Kelab elit yang terdiri daripada para mantan presiden Indonesia boleh membantu pemimpin baharu Prabowo Subianto mengukuhkan kuasa, tetapi cabarannya terletak pada usaha untuk menyatukan mereka, kata para penganalisis.

Anggaran Waktu Membaca:
Probowo usul tubuh kelab mantan presiden Indonesia

(Dari kiri) Mantan presiden-presiden Indonesia Megawati Soekarnoputri, Susilo Bambang Yudhoyono, president kini Joko Widodo dan presiden seterusnya Prabowo Subianto. (Gambar-gambar: AFP, Danang Wisanggeni)

Diterbitkan : 09 May 2024 11:48AM Dikemas Kini : 09 May 2024 01:08PM
JAKARTA: Kelab elit yang terdiri daripada para mantan presiden Indonesia boleh membantu pemimpin baharu Prabowo Subianto mengukuhkan kuasa, tetapi cabarannya terletak pada usaha untuk menyatukan mereka, kata para penganalisis.

Agensi-agensi media mempersoalkan idea kelab presiden itu, yang pertama kali dibangkitkan oleh jurucakap Encik Prabowo pada hujung April.

"Encik Prabowo sudah berulang kali meluahkan hasratnya kuatnya untuk mengadakan perbincangan dengan para mantan presiden, sekali gus menubuhkan sebuah kelab presiden," kata Encik Dahnil Anzar Simanjuntak dalam wawancaranya bersama Kompas TV.

Kelab itu akan berfungsi sebagai sebuah forum untuk bertukar-tukar pandangan dan idea mengenai isu-isu strategik peringkat nasional, yang akan membolehkan Encik Prabowo untuk mencedok pengalaman presiden-presiden lalu dalam mentadbir negara ini, kata Encik Dahnil.

Awal minggu ini, beliau berkata kelab presiden itu tidak akan dijadikan sebagai sebuah badan rasmi dan tiada rancangan untuk menjadikannya sebagai sebuah institusi, tidak seperti Majlis Penasihat Presiden (Wantimpres).

Wantimpres adalah sebuah badan pemerintah yang menasihati presiden Indonesia tentang pentadbiran harian dan ia dikawal selia oleh Artikel 16 Perlembagaan Indonesia.

Apabila Encik Prabowo menyandang jawatan presiden pada 20 Oktober, Indonesia akan mempunyai tiga mantan presiden yang masih hidup: Encik Joko Widodo, Encik Susilo Bambang Yudhoyono dan Cik Megawati Soekarnoputri.

Encik Widodo serta parti Encik Yudhoyono telah mengalu-alukan idea untuk menubuhkan kelab itu, dengan Encik Widodo malah bergurau bahawa penggantinya boleh bertemu dengan para mantan presiden setiap hari.

Partai Demokrat pimpinan Encik Yudhoyono turut mengalu-alukan cadangan itu.

Pegawai kanan parti, Andi Mallarengeng, penasihat kepada Encik Yudhoyono berkata presiden keenam negara itu akan menyokong idea tersebut, lapor laman berita Kompas.com.

Menurut Encik Andi, Amerika Syarikat juga mempunyai kelab sedemikian.

Presiden Amerika serta mantan presiden yang masih hidup, berkumpul semasa upacara persemadian negara dan bagi tujuan-tujuan lain.

Encik Joe Biden, Encik Barack Obama dan Encik George W Bush semuanya mendapatkan nasihat presiden lalu semasa mereka menyandang jawatan tersebut.

Sebagai contoh, Encik George W Bush berdiri teguh bersama dua mantan presiden, bapanya George HW Bush dan Encik Bill Clinton pada awal 2005 untuk memohon derma bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Aceh pada 2004.

Pada 2010, Encik Obama dengan sokongan Encik Clinton dan Encik George W Bush memohon dana bagi mangsa gempa bumi di Haiti.

Namun para penganalisis berpendapat bahawa Encik Prabowo mungkin berdepan cabaran dengan Cik Megawati.

PERGESERAN ANTARA MANTAN PRESIDEN

Hubungan Cik Megawati dengan Encik Yudhoyono agak dingin sepanjang dua dekad yang lalu, selepas Encik Yudhoyono memutuskan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2004.

Encik Yudhoyono yang memenangi pilihan raya itu, adalah menteri keselamatan di bawah Cik Megawati ketika itu.

Ramai berpendapat bahawa Cik Megawati melihat tindakan tersebut sebagai satu pengkhianatan.

Selain itu, terdapat juga pergeseran antara Cik Megawati dan Encik Widodo, selepas beliau memutuskan untuk mengundurkan diri daripada Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) semasa pilihan raya presiden baru-baru ini.

Zamil Penyelidik Universiti Atma Jaya Catholic di Jakarta, Encik Yoes Kenawas memberitahu Mediacorp bahawa sukar untuk Encik Prabowo mendapatkan Cik Megawati, Encik Yudhoyono dan Encik Widodo duduk semeja.

"Pertama, Encik Prabowo perlu menyatukan Encik Widodo dan Cik Megawati. Pencalonan Encik Gibran mencabar pengaruh Cik Megawati sebagai pengerusi PDIP," kata Encik Yoes.

Cabaran kedua, menurut Encik Yoes adalah bagaimana Encik Prabowo akan mencari jalan untuk mengendurkan ketegangan antara Cik Megawati dan Encik Yudhoyono.

Kunci kejayaan kelab tersebut terletak pada Cik Megawati, kata Dr Ambang Priyonggo, penolong profesor perhubungan politik di jabatan kewartawanan digital Universiti Multimedia Nusantara.

Berdasarkan padangannya, sukar untuk Encik Prabowo menubuhkan kelab presiden itu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita