Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRN2023: Kedah medan persaingan paling sengit buat PH-BN

Anggaran Waktu Membaca:
ALOR SETAR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah dijangka menjadi medan persaingan yang sengit dan mencabar di antara Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) menentang penyandang Perikatan Nasional (PN).

Maka itu, gabungan politik di bawah Kerajaan Perpaduan sudah meningkatkan persediaan bagi tempoh berkempen nanti.

Sejak 2008, kerajaan negeri Kedah sudah bertukar tangan sebanyak empat kali sehingga boleh disifatkan sebagai sebuah 'swing state'.

Pasca PRU15 tahun lalu, PN meluaskan pengaruh di Kedah dengan memenangi semua kecuali satu kerusi Dewan Rakyat di negeri tersebut.

KEDAH PINTU MASUK PENTING PAS-PN

Kedah merupakan pintu masuk untuk PAS dan PN meluaskan penguasaan ke bahagian barat semenanjung Malaysia.

Memimpin PN di Kedah adalah Encik Muhammad Sanusi Md Nor yang menjadi Menteri Besar Kedah pada 2020 selepas berlakunya Langkah Sheraton ketika itu.

Berusia 48 tahun, Encik Sanusi dikenali dengan ucapan-ucapan lantang serta penuh kontroversi tetapi beliau amat disenangi penduduk negeri Darul Aman.

Pada Selasa (18 Jul), beliau sudah diheret ke mahkamah untuk dikenakan dua dakwaan di bawah Akta Hasutan.
Sekalipun demikian, di bawah kepimpinan beliau, Kedah menarik pelaburan-pelaburan bernilai berbilion Ringgit dan mewujudkan ribuan pekerjaan baru.

Itulah rekod yang diharapkan PN untuk memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah nanti.

"Dari 2020 sampai 2023, ini telah menampakkan keberhasilannya daripada integriti, kempimpinan, ketulusan kepimpinan, kesungugghan kempimpinan.

"Dan ini perkara utama untuk menarik minat pengundi dan rakyat Kedah untuk mengekalkan kemenangan di Kedah," ujar Pengarah Pilihan Raya PN Kedah Hilmi Wahad.

KEDAH JADI TUMPUAN PH-BN

Baru-baru ini, Kedah menjadi tumpuan projek kerajaan persekutuan serta tempat lawatan berprofil tinggi sekaligus mencerminkan pentingnya untuk memenangi negeri itu.

Kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang pernah mentadbir Kedah berikrar untuk melaksanakan pembangunan tambahan dalam bidang-bidang seperti teknologi pertanian jika para pengundi selari dengan Kerajaan Perpaduan.

Malah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah ke Kedah beberapa kali untuk mengumumkan pendanaan lebih besar daripada Kerajaan Perpaduan.

Langkah itu diambil demi membuktikan komitmen PH-BN terhadap negeri tersebut.
PM Anwar menegaskan: "Untuk pembangunan Kedah ini, saya sebut sikitlah, memang ini mesra di Kedah mereka kata saya tak bagi perutukan.

"Peruntukun RM1.57 billion (S$46 juta) dan 455 projek. Pegawai daerah pun tahu, soal pembangunan rakyat ini, jangan kita politikkan."

STRATEGI BERI 'HABUAN' MUNGKIN TIDAK BERHASIL: PENGAMAT

Namun, para pengamat berkata adalah satu cabaran besar untuk Kerajaan Perpaduan menang di Kedah.

Mereka menambah pendekatan "menawarkan habuan" sedemikian mungkin tidak berkesan.

Mentelah lagi, pengaruh PN melewati kawasan kampung majoriti Melayu sehinggalah ke kawasan-kawasan yang mana jumlah penduduk minoriti agak tinggi.

"Para pengundi tidak bodoh. Mereka tahu jika kerajaan mahu menyalurkan pendanaan dan projek pembangunan, mereka akan menerimanya. Namun, ia tidak bermakna mereka akan mengundi gabungan kerajaan. Ia amat sukar untuk PH dan BN memberi satu cabaran serius kepada kekuatan PN di negeri itu.

"Mereka boleh mengurangkan kesannya dengan memaksimumkan jumlah pengundi bukan Melayu untuk keluar mengundi dan mungkin bertahan di beberapa kerusi yang mereka ada sekarang," ujar Pakar Sains Politik Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Azmil Tayeb.
Dalam PRN nanti, Kerajaan Perpaduan juga akan berusaha sedaya upaya untuk menang di kesemua enam negeri.

Malah, mereka mengetepikan segala perbezaan dalaman dengan blok Borneo turut berikrar untuk memberi sokongan di Semenanjung.

Usaha itu semua demi mencapai sasaran iaitu memastikan kestabilan dan kemakmuran Malaysia.
Sumber : CNA/RU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan