Skip to main content

Dunia

PRN Sabah: Pengundi digesa nilai calon berdasarkan rekod bukan sentimen kaum, emosi

Anggaran Waktu Membaca:
 PRN Sabah: Pengundi digesa nilai calon berdasarkan rekod bukan sentimen kaum, emosi
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai di pasar Gaya Street di Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Nov 2025. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)
Diterbitkan : 16 Nov 2025 05:32PM Dikemas Kini : 16 Nov 2025 05:33PM
PUTATAN: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengingatkan pengundi Sabah supaya menilai rekod dan kemampuan sebenar calon ketika membuat pilihan sambil menegaskan keputusan politik tidak seharusnya dipengaruhi sentimen kaum atau emosi yang boleh menjejaskan pembangunan negeri.

Encik Anwar berkata Sabah memerlukan barisan wakil rakyat yang konsisten bekerja, memahami keperluan rakyat dan mempunyai rekod jelas dalam menyelesaikan isu asas seperti air, elektrik, pendidikan serta kebajikan masyarakat, khususnya di luar bandar.
"Jangan ikut marah, jangan ikut sentimen kaum yang tak betul takkan selamat negara. Mana negara di dunia ini yang boleh aman kalau masing-masing bunuh kaumnya masing-masing. Kamu majoritikah? Kamu minoritikah?," katanya, dipetik daripada agensi berita BH Online.

Encik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Mega PMX Sayang Sabah di DUN Petagas, pada Sabtu (15 Nov).

Turut hadir adalah Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Mustapha Sakmud; Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari; dan Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Pilihan Raya Negeri (PRN17) Sabah ke-17, Awang Husaini Sahari.

Encik Anwar yang juga Pengerusi PH menjelaskan rakyat wajar memberi keutamaan kepada calon yang mempunyai bukti perkhidmatan dan sumbangan, bukan kelompok yang hanya tampil ketika musim pilihan raya dengan retorik yang tidak disokong rekod pentadbiran.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata pendekatan politik yang hanya menimbulkan perpecahan tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.

"Agama apa? Ada Islam, ada yang Kristian. Kawan apa? Ada Melayu, ada Cina, ada Iban, ada Kadazan. Ada Murut, ada Bugis, ada Suluk. Tapi semuanya anak Sabah. Orang Sabah dan anak Malaysia ini semangatnya harus ada," katanya, lapor BH Online.

Encik Anwar berkata perjuangan sesebuah kerajaan mestilah ditandai keikhlasan dan kerja berterusan untuk rakyat bukan bersandarkan jawatan atau kepentingan peribadi.

Beliau berkata, wakil rakyat mesti memahami bahawa mandat yang diberikan adalah amanah untuk memperbaiki kehidupan rakyat serta menjamin masa depan generasi muda.

"Jadi wakil rakyat untuk apa? Untuk jaga ikhlas bela nasib rakyat jaga anak-anak kita, jaga masa depan kita. Saya bukan cakap janji. Tak. Saya dah tiga tahun jadi Perdana Menteri, 10 tahun tunggu, naik turun mahkamah, masuk keluar penjara, kena pukul setengah mati, sekarang Perdana Menteri buatlah kerja," katanya, menurut BH Online.

Dalam pilihan raya kali ini, Encik Awang Husaini berdepan saingan 10 penjuru di kerusi Petagas yang membabitkan antaranya calon dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Perikatan Nasional (PN) serta beberapa calon Bebas, sekali gus menjadikan kawasan itu antara saingan paling sengit.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita